PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 telah pun berlalu, tetapi gesaan untuk kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berhenti-henti. Fenomena ini pelik.
KWSP ditugaskan untuk merancang dan menyediakan manfaat persaraan kepada pekerja sektor swasta dan tidak berpencen di Malaysia.
Pengeluaran caruman jarang dibenarkan melainkan untuk tujuan yang bersyarat seperti menunaikan ibadah haji, pendidikan, pemilikan rumah dan rawatan kesihatan.
Oleh kerana tanggungjawab KWSP ialah memastikan kehidupan persaraan para pencarum terbela, maka mereka sepatutnya lebih ‘kedekut’ dalam membenarkan pengeluaran khas.
Kebelakangan ini pengeluaran khas telah diluluskan berkali-kali di bawah nama i-Sinar, i-Lestari, dan i-Citra.
Antara sebab khusus kebenaran pengeluaran khas ini disebabkan impak pandemik Covid-19.
Ini adalah kerana Covid-19 bukan sahaja telah mengehadkan pergerakan kita di bawah beberapa siri PKP, malah ia juga telah menjejaskan perniagaan dan kehidupan jutaan rakyat.
Disebabkan itu, selepas PKP tamat dan ekonomi beransur pulih, amalan pengeluaran khas atas sebab perintah darurat dan keadaan kritikal tidak boleh diketengahkan lagi.
Hakikatnya, pengeluaran khas KWSP secara berterusan akan mengurangkan kemampuan majoriti pencarum untuk berhadapan dengan kos sara hidup mereka selepas mencapai peringkat umur persaraan.
Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 6.67 juta ahli KWSP ataupun 51.5 peratus hanya mempunyai baki simpanan di bawah RM10,000. Nilai ini adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran RM240,000 simpanan asas untuk bersara.
Jika pengeluaran dibenarkan secara berterusan, peratusan pencarum yang mempunyai simpanan bawah RM10,000 akan terus meningkat.
Adakah pihak KWSP masih berperanan sekiranya 80 peratus simpanan pencarum kurang daripada RM10,000? Jika begitu, lebih elok disarankan untuk bubarkan sahaja KWSP. Perkara yang lebih penting, ataupun rahsia caruman KWSP sebenarnya bukannya pada faedah untuk setahun sahaja, tetapi faedah penting ialah faedah yang berganda (faedah kompaun).
Digelar sebagai keajaiban kelapan di dunia oleh Warren Buffet seorang pelabur terulung di dunia, faedah berganda akan melipatgandakan simpanan kita umpama kesan bola salji yang memberi impak lebih menyeluruh.
Maka pengeluaran awal umpama membunuh angsa yang bertelur emas. Ia bukan sahaja melepaskan peluang untuk menambahkan aset pencarum, malah juga memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal.
Anda mungkin tertanya-tanya, rakyat sekarang pun susah, mengapakah kerajaan tidak membantu?
Setuju, kerajaan wajib membantu, dan tanggungjawab yang paling utama adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menangani endemik rasuah, mewujudkan perkhidmatan awam yang cekap dan mesra, serta gaji yang setimpal dengan kos kehidupan sekarang.
Jika rakyat dapat menikmati gaji yang lebih tinggi, maka bukan sahaja kita dapat berhadapan dengan kos kehidupan yang kian mencabar, malah caruman bulanan KWSP juga akan meningkat dari tahun ke tahun.
Dalam penyelesaian untuk tambah baik pulangan KWSP, saya telah melontarkan beberapa cadangan, antaranya:
Pertama, meningkatkan mandat pelaburan luar. Pada tahun 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64 peratus untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02 peratus.
Peningkatan mandat pelaburan di peringkat antarabangsa akan menjadikan KWSP lebih produktif, di samping lebih profesional.
Kedua, mengehadkan pengeluaran selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.
Ketiga, pelaksanaan dividen bertingkat. Dasar ini akan memberikan dividen yang paling tinggi kepada caruman simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas), dan simpanan RM240,000 ke atas.
Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, mereka masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya.
Daripada menumpukan perdebatan sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan, lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk memastikan pencarum kita boleh bersara secara bermaruah dan bermutu.
* Lee Chean Chung ialah Pengarah Komunikasi PKR
Klik di sini untuk terus membaca