TULISAN saya kali ini berfokus kepada dua isu: Pertama, penggunaan bahasa yang baik. Kedua, isu yang terkait dengan nama ‘Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia’ (ringkasan: ‘Kementerian Digital’). Perlu ditegaskan di awal... Klik di sini untuk terus membaca

TULISAN saya kali ini berfokus kepada dua isu: Pertama, penggunaan bahasa yang baik.

Kedua, isu yang terkait dengan nama ‘Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia’ (ringkasan: ‘Kementerian Digital’).

Perlu ditegaskan di awal tulisan ini bahawa pendapat yang saya kongsikan di sini ialah untuk kita sama-sama memperbaiki penggunaan bahasa kebangsaan.

Usaha kerdil saya ini bukan bertujuan untuk memandang rendah usaha pengguna bahasa Melayu yang masih lemah di beberapa tempat.

Saya menyinggung isu yang pertama dahulu.

Termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 152, bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan untuk seluruh bangsa Malaysia.

Di Malaysia, penggunaan bahasa Melayu perlu terus diperbaiki dan dimantapkan; dan ini tidak begitu susah kerana segala kemudahan untuk usaha ini wujud di negara kita.

Dalam masa sama kebolehan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghubung antarabangsa juga perlu diperbaiki.

Ini lebih mencabar kerana kemudahan serta manusia yang menggunakan bahasa Inggeris dengan baik semakin berkurangan di Malaysia.

Bertuahlah warga dunia yang dapat bertutur dengan fasih dan menulis dengan baik dalam dua bahasa atau lebih.

Sebagai penutur dan penulis dwibahasa, saya sentiasa cuba melihat keindahan serta kekuatan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Banyak kali saya cuba berfikir dalam bahasa Arab yang tidak saya kuasai sebaik kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Acap kali juga saya merujuk pelbagai kamus dalam talian untuk menyemak istilah dan penggunaan ayat dalam ketiga-tiga bahasa itu.

Kamus salinan keras yang berjudul Kamus Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur tahun 2020 – kamus terbesar bahasa Melayu sedunia – adalah kamus kesayangan saya.

Namun, apabila saya menemui jalan buntu, saya menghubungi para pegawai paling senior DBP untuk kepastian sesuatu istilah dan ayat. Kita akan ke DBP untuk isu kedua nanti.

Semua interaksi serta usaha pendidikan bersama-sama ahli akademik serta grup murid pra atau pascasiswazah terus menambah ilmu saya.

Ia menginsafkan diri bahawa ilmu yang manusia terima dan dapat amat terhad kerana ia datang daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Sekarang kita pergi ke isu kedua.

Pada 29 Disember 2022, seorang sahabat saya, pegawai senior yang hampir pencen dari ‘Kementerian Komunikasi dan Digital’ bertanya saya adakah nama kementeriannya mengikut laras bahasa yang tepat.

Beliau bertanya saya kerana menurutnya saya ialah mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (9 Julai 2018 hingga 8 Mei 2020).

Beliau berkata bahawa beliau menerima maklum balas bahawa ada kepincangan dalam nama ‘Kementerian Digital’.

Yang saya sendiri faham, dalam bahasa Inggeris: Digital Ministry atau Ministry of Digital.

Sahabat saya ini juga bimbang kerana menurutnya, Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PM10) ialah seorang pejuang bahasa.

Saya bersetuju dengan beliau tentang kejanggalan penggunaan nama tersebut dan juga PM10 ialah pejuang bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara tercinta.

Setelah merujuk KDP berkaitan istilah ‘digital’ dan ayat yang menggunakan kata terbitan daripada istilah ini, saya terus menghubungi pegawai DBP yang paling senior dan mempunyai autoriti tentang penggunaan istilah dalam ayat yang tepat.

Pada keesokan harinya jawapan yang saya terima dari DBP ialah nama itu tidak gramatis. ‘Digital’ ialah kata adjektif.

Pihak DBP sudah memberikan pandangan dan cadangannya ialah: ‘Kementerian Komunikasi dan Pendigitalan’ atau ‘Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital’. Di luar negara wujud Ministry for Digital and Economic Affairs.

Terima kasih sekali lagi DBP.

Saya berbaik sangka. Menteri dan Ketua Setiausaha ‘Kementerian Digital’ terlepas pandang. Saya harap kesilapan ini diperbaiki segera.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial. Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Klik di sini untuk terus membaca