NEPOTISME ini selalu kita sebut apabila seseorang pemimpin mula melebihkan anak-anak atau kaum keluarga untuk mendapat manfaat daripada jawatan yang mereka miliki.
Ia berasaskan kepada akar kata Latin - ‘nephos’ yang kemudiannya diterjemahkan menjadi nephew, atau anak saudara lelaki.
Di zaman silam, biasanya kepala gereja atau Pope yang kononnya menjaga agama itu juga, akan mula melantik anak-anaknya menjadi kardinal - sama seperti watak-watak dalam filem John Wick.
Kardinal ini pula kemudiannya akan diangkat menjadi Pope bila ayahnya meninggal.
Kelihatannya itulah sifat manusia, baik sealim dan sewarak mana juga pun, kita sering melebihkan kaum atau puak kita dahulu.
Di masa dulu, banyak orang Melayu mengerjakan tanah bendang dan kebun. Walaupun anak lelaki yang sulung biasanya diminta membantu ayahnya ke bendang, ia mungkin tak begitu sesuai dianggap nepotisme.
Sebabnya kerja berkebun dan bendang itu kerja yang tidaklah berstatus tinggi, dan tak ramai yang meminatinya.
Kedua, ia milik sendiri. Jadi jika seorang bapa ingin melantik mana-mana anaknya menjadi orang kanannya, tak ada sesiapa yang peduli. Ia bukan harta awam.
Tetapi dalam konteks siasah negara, ia banyak buruknya. Buruknya pada persepsi orang. Apatah jika yang melantik itu pula pemimpin utama negara. Takut-takut orang lain pun berbuat hal yang sama.
Di Amerika Syarikat, negara yang kononnya sangat mengagungkan demokrasi dan tak pernah berhenti bercakap menentang kronisme dan nepotisme, Donald Trump ketika menjadi Presiden telah melantik anak perempuannya, Ivanka Trump dan menantunya, Jared Kushner, sebagai Penasihat Presiden.
Di Jepun, negara yang terkenal dengan nilai terpuji, sekitar akhir tahun lalu, Fumio Kishida telah melantik anak sulungnya, Shotaro, sebagai setiausaha eksekutif di pejabat Perdana Menteri.
Tetapi nama Shotaro mula diperkatakan orang apabila dikatakan menggunakan kesempatan membeli-belah dan melancong ketika perjalanan ke beberapa buah negara.
Malah membeli cenderahati di gedung beli-belah Harrods di London pun direkodkan orang. Rakyat marah kerana perjalanannya menggunakan wang cukai rakyat.
Seperti biasa, baik Donald Trump atau Kishida, dakwa mereka, ia bukan nepotisme, tetapi kerana anak-anak mereka berkelayakan dan berbakat. Mungkinlah juga.
Kita tak pasti sama ada dalam jutaan rakyat, hanya anak mereka sahaja yang berbakat, sedang anak orang lain tidak.
Dalam ilmu psikologi, ada satu istilah yang agak filosofi, iaitu pemilihan semula jadi (natural selection) dan survival. Kononnya manusia ini terus mampu survival kerana pemilihan semula jadi ini.
Ketika memilih pasangan, biasanya manusia akan memilih calon yang terbaik untuk diri mereka, untuk memastikan kelangsungan zuriat.
Setelah beranak-pinak, bagi tujuan survival itu juga, manusia akan cenderung untuk mengawal dan mempertahankan ahli keluarganya dahulu untuk mereka kekal hidup.
Ia berlaku secara semula jadi. Binatang juga mempunyai naluri ini. Ia dinamakan sebagai animal nepotism.
Apabila anak-anak terancam, haiwan akan mempertahankan anak-anaknya atau kumpulannya dahulu berbanding dengan haiwan daripada jenis yang lain.
Bagaimanapun jika seseorang pemimpin mula melantik anak atau ahli keluarga sendiri bagi jawatan utama, sama ada dibayar atau tidak, ia menimbulkan banyak kecurigaan.
Bukan semestinya orang yang dilantik tadi ada atau tiada merit untuk dilantik. Ia isu yang lain. Kecurigaan, dan juga potensi untuk banyak ruang kejahatan itulah yang dibimbangi dan patut ditutup sahaja.
Kerana jika salah satu daripadanya sahaja membuat kesilapan, ia merosakkan kredibiliti kedua-duanya. Kita telah melihat banyak contoh dan wajar belajar daripadanya.
Walaupun pemimpin lain melakukannya, tak semestinya kita juga menirunya. Sesiapa pun yang jadi pemimpin, kaciplah gigi sekuatnya daripada membuka pintu kecurigaan yang merosak persepsi ini.
Ia sejuta kali lebih bermakna daripada melaungkan reformasi tanpa henti.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Adjunct Associate Professor di PSC Global Observatory, Universiti of South Australia.
Klik di sini untuk terus membaca