SHAH ALAM - Meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dikhuatiri akan menyebabkan agensi itu dibayangi desakan dan tekanan ahli-ahli politik. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebaliknya berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dikhuatiri akan menyebabkan agensi itu dibayangi desakan dan tekanan ahli-ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebaliknya berkata, suruhanjaya itu sudah pun menjadi sebuah institusi yang bebas walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana ia dipantau oleh panel bebas serta sebuah jawatankuasa antirasuah.

Azam bimbang jika diletakkan di bawah Parlimen, ada kemungkinan SPRM terpaksa mengikut arahan prosedur tertentu yang ditetapkan oleh orang politik, sedangkan banyak pihak mahu badan tersebut bebas daripada tekanan politik.

"Kalau katakan SPRM diletak di bawah Parlimen, saya kurang setuju kerana khuatir ada desakan orang politik.

"Hanya kerana satu dua insiden berlaku, terus hendak letak di bawah Parlimen. Model kita (SPRM) adalah seperti negara luar antaranya Hong Kong. Mereka juga ada panel bebas seperti kita.

"Dalam siasatan kes individu berprofil tinggi, adakah saya perlu tanya ahli politik dalam Parlimen terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? (Selama ini) kita tidak pernah tanya (Perdana Menteri atau menteri JPM) dan ini menunjukkan kebebasan kita," katanya kepada Sinar Harian.

Azam bagaimanapun berkata, beliau sentiasa terbuka dengan cadangan untuk mereformasi SPRM demi kesejahteraan negara.


INFO
Langkah reformasi SPRM

1. Mendesak ahli-ahli Parlimen supaya agenda reformasi SPRM dibahaskan di Dewan Rakyat.

2. Tubuhkan sebuah suruhanjaya khas bagi mengkaji struktur dan mekanisme jelas berhubung reformasi SPRM.

3. Memisahkan SPRM daripada Jabatan Perdana Menteri dan meletakkannya di bawah Parlimen.

4. Pinda Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 berhubung kuasa Perdana Menteri untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya individu yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Khas Parlimen bagi dinilai sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

5. Tubuhkan suruhanjaya khas berasingan daripada JPA bertujuan melantik pegawai-pegawai lain dalam SPRM supaya tidak wujud unsur politik dalam lantikan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca