SHAH ALAM - Proses reformasi institusi di bawah Kerajaan Perpaduan berjalan mengikut perancangan bagi memastikan setiap perubahan yang bakal dilaksana dapat memberi impak positif kepada rakyat. Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Proses reformasi institusi di bawah Kerajaan Perpaduan berjalan mengikut perancangan bagi memastikan setiap perubahan yang bakal dilaksana dapat memberi impak positif kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia termasuklah reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain institusi lain seperti penguatkuasaan dan kehakiman.

Ujar beliau, perkara tersebut merupakan komitmen Pakatan Harapan (PH) dan yakin ia bakal terlaksana di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya rasa Perdana Menteri perlu menyelesaikan dahulu isu pokok negara seperti ekonomi," katanya kepada Sinar Harian.

Menteri Besar Selangor itu mengakui PH pernah menggesa supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen namun berpandangan mekanisme dan pelaksanaannya akan mengambil masa.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil pula menegaskan reformasi institusi seperti SPRM bukan sekadar janji sebaliknya satu perjuangan PH.

"Ini bukan sekadar janji. Ini adalah satu perjuangan yang dibuat oleh PH dan Anwar sekian lama.

"Jadi, saya yakin perkara ini akan dilakukan. Kita tidak boleh terus nak menghukum prestasi beliau. Reformasi ini melibatkan pindaan undang-undang dan pindaan Perlembagaan," katanya.

Faiz menambah, kerajaan dipimpin Anwar kini sedang menjalankan proses-proses reformasi institusi antaranya seperti yang dimaklumkan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said iaitu usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

"Saya juga percaya Anwar akan mengambil langkah-langkah positif untuk meletakkan SPRM betul-betul bebas. Apa sahaja siasatan yang berlaku hari ini adalah bidang kuasa eksklusif SPRM untuk menyiasat. Jika ada laporan, perlu disiasat.

"Tidak ada apa-apa campur tangan langsung daripada Perdana Menteri (contohnya) tentang siasatan yang berlaku ke atas akaun bank individu dan parti yang dikatakan terlibat kes-kes rasuah pilihan raya," ujarnya.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung pula berkata, reformasi SPRM perlu melibatkan perbincangan bersama ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, kerajaan yang dipimpin Anwar merupakan Kerajaan Perpaduan dan bukannya kerajaan PH.

Klik di sini untuk terus membaca