SHAH ALAM - Mekanisme pengawalan pembelian stok minyak masak bersubsidi negara dengan kaedah menunjukkan kad pengenalan seperti yang dilaksanakan oleh Indonesia wajar dibuat di negara ini bagi memastikan rakyat benar-benar menerima manfaat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati golongan peniaga, pengusaha makanan dan peniaga kedai serbaneka berpendapat peraturan yang dilakukan oleh Indonesia wajar dicontohi kerana masalah pembelian minyak masak tanpa kawalan boleh mendatangkan masalah pada masa hadapan.
Pengusaha katering dan makanan, Baiti Mohd Radzi, 36, berkata, beliau menyokong sekiranya Malaysia menetapkan peraturan sedemikian untuk minyak masak bersubsidi, namun masih perlu menetapkan jumlah pembelian.
Menurutnya, subsidi kerajaan sememangnya perlu dimanfaatkan rakyat tempatan dan bukannya warga asing.
"Memang sepatutnya kerajaan perlu memperketatkan peraturan dan akta sedia ada bagi mengawal pembelian minyak masak subsidi.
"Bagi golongan peniaga, kerajaan boleh tetapkan peraturan seperti tunjukkan dulu lesen perniagaan dan hadkan kuantiti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagi, peniaga runcit, Mohd Hazwan Jaludin, 35, pembelian minyak masak secara pukal oleh peniaga menyebabkan golongan kurang berkemampuan tidak dapat menikmati harga minyak subsidi.
"Pembelian minyak bersubsidi perlu dikawal terutama oleh golongan peniaga kerana pembelian secara tidak terkawal boleh menyebabkan golongan yang kurang berkemampuan tidak dapat menikmati harga minyak masak bersubsidi.
"Pengawalan boleh dilaksanakan jika terdapat peraturan ketat dikenakan terdapat golongan yang sering membeli minyak masak secara pukal,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai serbaneka yang dikenali sebagai Khan, 63, pula berkata, dia akur sekiranya kerajaan menetapkan peraturan supaya pembeli minyak masak bersubsidi perlu menunjukkan kad pengenalan kerana lebih mudah untuk mengawal pembelian.
"Sekarang ini warga asing pun banyak beli minyak subsidi dan kita susah nak kawal. Jadi jika kerajaan laksanakan peraturan macam Indonesia (tunjuk kad pengenalan) tak ada masalah,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan pemerintah Indonesia mewajibkan penduduk di republik itu menunjukkan Kartu Tanda Penduduk (KTP) atau kad pengenalan setiap kali melakukan pembelian minyak masak bersubsidi bagi mengelakkan orang ramai daripada membeli secara berlebihan.
Klik di sini untuk terus membaca