SHAH ALAM - Pembebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada campur tangan politik diyakini mampu meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, satu reformasi besar-besaran perlu dilaksanakan terhadap institusi penguat kuasa itu bagi memastikan ia bersesuaian dengan peredaran zaman.
Tegasnya, sistem yang diamalkan di negara ini sudah lapuk dan hanya sesuai digunakan sekitar 20 tahun lalu.
"Banyak pembaharuan perlu dibuat. Antaranya, membebaskan badan tersebut daripada sebarang pengaruh politik. Kita sekarang berada pada tahun 2023, pada 2057 kita sudah 100 tahun merdeka, tetapi kita masih pakai sistem lama.
"Ini menunjukkan betapa ketinggalan sistem negara kita sekarang,” katanya.
Jais turut mencadangkan agar Malaysia mencontohi negara jiran, Indonesia berhubung pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Jelasnya, setiap calon perlu dinilai dan dipanggil oleh Jawatankuasa Khas Parlimen terlebih dahulu sebelum dilantik ke jawatan tersebut.
"Wakil pelbagai parti pembangkang dan kerajaan harus panggil calon dahulu untuk bertanyakan soalan, dan buat keputusan berdasarkan undian siapa yang lebih layak,” katanya.
Tambah beliau, suruhanjaya khas berasingan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga wajar ditubuhkan bertujuan memastikan lantikan pegawai-pegawai lain dalam SPRM dilakukan tanpa dipengaruhi oleh orang dalam.
"Sekarang pegawai SPRM tiada beza dengan penjawat awam lain yang dilantik melalui JPA dan tapisan standard penjawat awam.
"Jika ada satu suruhanjaya khas berkaitan SPRM untuk melantik dan memecat pegawai mengikut peraturan tertentu, saya yakin SPRM akan lebih mantap,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Salleh pula berkata, cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen wajar dilaksanakan sebagai satu langkah reformasi institusi.
Bagaimanapun menurut beliau, ia perlu penelitian yang rapi dan menyeluruh sebelum diwartakan supaya suruhanjaya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutamanya ahli politik.
"Bagi saya ia satu langkah yang wajar tetapi kita tidak perlu tergesa-gesa jika belum ada mekanisme yang jelas," katanya kepada Sinar Premium.
Sebelum ini beberapa pihak berpandangan langkah meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan memastikan proses semak dan imbang suruhanjaya itu lebih bebas serta telus.
Tambah Mohammad Fazril, 'kemahuan politik' adalah sangat diperlukan dalam usaha mereformasi institusi ini.
"Dalam masa sama, kegusaran SPRM yang ia akan hilang kebebasan jika diletakkan di bawah Parlimen mesti ditangani dengan mekanisme yang sewajarnya.
"Pastinya kredibiliti SPRM tidak dipertikai jika tiada isu yang muncul seterusnya menimbulkan keraguan. Dalam konteks ini, SPRM sendiri mesti rela untuk direformasikan dan mencadangkan mekanisme yang sesuai untuk ia diletakkan di bawah Parlimen," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca