SHAH ALAM - Kemampuan menyesuaikan diri dalam mana-mana parti politik bersifat liberal, progresif atau konservatif menjadikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khariy Jamaluddin dambaan ramai pihak yang mahu bekerjasama dengan tokoh versatil itu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kemampuan menyesuaikan diri dalam mana-mana parti politik bersifat liberal, progresif atau konservatif menjadikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khariy Jamaluddin dambaan ramai pihak yang mahu bekerjasama dengan tokoh versatil itu.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, keanggotaan Khairy dalam sesebuah parti boleh menjadi aset besar, namun bekas ahli Parlimen Rembau itu perlu membuat pertimbangan teliti sebelum menyertai mana-mana parti politik berikutan keputusan beliau akan memberi signal keberpihakannya.

"Jika Khairy membuat keputusan secara terburu-buru untuk menyertai mana-mana parti politik, mungkin sukar untuk beliau berdiplomasi dengan parti lain pada masa akan datang,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Walaupun mampu membawa diri dalam apa jua keadaan tetapi buat masa ini kata Anis Anwar, persaingan adalah lebih sengit di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandangkan parti tersebut berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan.

"Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) di mana ramai wakil rakyat yang dipilih masih baharu. Justeru, pengalaman yang dimilikinya lebih signifikan berbanding parti yang lebih tepu dan Anwar centric. Orang lihat PKR itu adalah Anwar," katanya lagi.

Malah Anis Anwar juga tidak menolak kemungkinan, tawaran untuk Khairy bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan menjadi Menteri Besar sekiranya menang datang daripada PN.

"Ini kerana kedudukan PH sebagai penyandang kerajaan negeri itu menyukarkan posisi Menteri Besar ditawarkan kepada bekas Menteri Kesihatan itu.

"Namun melihat situasi politik Selangor di mana pelbagai masalah dalam pentadbiran negeri setelah tiga penggal PH menguasai Selangor, rakyat Selangor masih belum mampu mengubah undi mereka kepada parti pembangkang lain yang berwibawa seperti Barisan Nasional sebelum ini dan Pas,” ujar beliau.

ANIS ANWAR

Justeru katanya, Khairy dianggap berupaya memberi nilai tambah kepada PN, jika beliau ingin mengambil risiko tersebut dalam menawarkan arus perubahan kepada politik Selangor.

Terdahulu, Khairy dilaporkan mempertimbangkan untuk bertanding di PRN Selangor dan ditawarkan menjadi menteri besar sekiranya menang, bagaimanapun tidak disebut parti politik mana yang membuat tawaran.

Mengulas lanjut, Anis Anwar berkata, persoalan parti politik mana dan bila masa ideal untuk membuat comeback bergantung kepada hala tuju yang ditetapkan oleh Khairy sendiri.

"Khairy sendiri yang akan menentukannya sama ada beliau ingin berundur selangkah dan membuktikan kemampuan di peringkat negeri atau untuk bertenang seketika serta memasuki arena politik pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang,” katanya.

Namun menurutnya, medan PRN ini dan negeri Selangor merupakan peluang yang baik untuk Khairy membuktikan potensi diri secara maksimum kepada bekas parti lamanya, UMNO.

"Perlis antara kubu kuat UMNO sebelum ini yang berjaya dirampas PN setelah bekas Ketua Perhubungan UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim membawa kemenangan kepada PN.

"Di Selangor pula adalah medan menunjukkan sama ada UMNO mampu bertahan di bawah naungan PH atau Khairy berupaya memberi saingan sengit di kerusi DUN majoriti Melayu yang bakal ditandingi UMNO dan PH,” katanya.

WONG CHIN HUAT

Dalam pada itu, Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berpendapat, Khairy tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung hala tuju politiknya selepas dipecat dari UMNO baru-baru ini.

Katanya lagi, penyertaan Khairy ke dalam mana-mana parti politik termasuk PN boleh disifatkan sebagai membakar jambatan pulang kepada UMNO, sekiranya ekologi parti tersebut berubah satu hari nanti.

"Khairy masih muda dan mampu menunggu sedikit masa lagi untuk kembali membuat impak dalam dunia politik. Mungkin juga pintu akan terbuka untuk kembali kepada UMNO, sekiranya pemimpin yang sebelum ini menolak beliau terpaksa melepaskan jawatan dalam parti kerana keputusan mahkamah,” katanya.

Sekiranya Khairy memilih PN, Chin Huat melihat, bukan sahaja jambatan terbakar tetapi turut boleh menjejaskan imej beliau yang selama ini dilihat lebih terbuka berbanding pemimpin dalam koalisi PN seperti Pas.

Chin Huat turut sependapat bahawa tawaran untuk Khairy bertanding di PRN Selangor datang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdasarkan beberapa faktor.

"Bersatu juga bercita-cita menerajui Selangor dan boleh menawarkan jawatan Menteri Besar sekiranya menang. Paling penting, Bersatu gembira menarik penyertaan Khairy, tidak seperti PH yang takut mengundang kemarahan UMNO,” ujar Chin Huat.

Jelasnya, penyertaan Khairy di PRN Selangor mungkin membawa prospek tinggi untuk menarik sokongan daripada penyokong UMNO dan pengundi Melayu atas pagar, sekali gus membantu PN menawan kawasan marginal UMNO di negeri itu.

"Tetapi peluang PN untuk menang kuasa di Selangor masih kurang daripada 50 peratus. Maka, Khairy mungkin dapat menjadi ketua pembangkang DUN saja, terlalu rendah untuk seorang yang bercita-cita menjadi perdana menteri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca