ANKARA - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, gempa bumi 7.8 pada skala Richter yang melanda negara itu pada Isnin lalu adalah yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad. Gempa bumi terkuat pernah melanda Turkiye ialah pada 1939... Klik di sini untuk terus membaca

ANKARA - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, gempa bumi 7.8 pada skala Richter yang melanda negara itu pada Isnin lalu adalah yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Gempa bumi terkuat pernah melanda Turkiye ialah pada 1939 yang meragut sekurang-kurangnya 33,000 nyawa di wilayah Erzican.

Susulan bencana itu, Erdogan telah mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke daerah yang terjejas dalam usaha menyelamatkan nyawa penduduk.

"Kita berharap agar dapat melalui bencana ini bersama-sama secepat mungkin dan dengan kerosakan yang paling sedikit," katanya.

Gegaran kuat pada Isnin lalu menyebabkan puluhan bangunan di beberapa bandar runtuh dan turut menyebabkan kerosakan teruk serta mengakibatkan kematian di negara jiran, Syria.

Dalam pada itu, Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung tujuh hari bermula Isnin sehingga Ahad ini.

Bendera negara akan dikibar separuh tiang sehingga matahari terbenam pada Ahad, 12 Februari di semua pejabat perwakilan negara dan asing.

Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Pada tahun 1999, gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter telah mengorbankan lebih 17,000 nyawa penduduk terutama di sepanjang garis Anatolia Utara di wilayah Duzce.

Bagaimanapun, gegaran pada Isnin berlaku di sepanjang garisan Anatolia Timur.

Anatolia Timur tidak mengalami gempa bumi berukuran 7 skala Richter selama lebih dua abad yang menyebabkan orang ramai 'mengabaikan bahayanya'.

Disebabkan kawasan itu sudah lama tidak berlaku gempa besar, maka 'tenaga yang cukup banyak 'mungkin terkumpul.

Kekuatan gempa susulan, termasuk gegaran besar dengan 7.5 pada skala Richter menyokong teori ini. - AFP

KRONOLOGI GEMPA BUMI DI SYRIA DAN TURKIYE

Isnin, 6 Februari 2023 – 4:17 pagi (waktu Syria dan Turkiye) gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda negara itu ketika orang ramai sedang tidur.

Suhu yang direkodkan di Gaziantep, Turkiye ketika waktu gegaran naik sehingga 21 darjah Celsius.

Pada kebiasaannya suhu di sana ketika ini adalah sekitar 4 sehingga -6 darjah Celsius.

Ia merupakan gempa bumi paling kuat melanda rantau itu dalam satu abad.

Diikuti oleh lebih 100 gegaran susulan yang kuat, serta satu lagi gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud sembilan jam selepas gegaran pertama.

Gempa turut dirasai di negara jiran Lubnan, Jordan, Iraq, Iran, Mesir dan Cyprus.

Gegaran paling kuat dirasai di Syria dan Turkiye dengan kesan kerosakan paling teruk.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa 7.8 magnitud itu berada 23 kilometer (km) timur Nurdagi di wilayah Gaziantep, Türkiye pada kedalaman 24.1km.

Pusat gempa 7.5 magnitud (yang kedua) adalah 95km di utara gempa asal.

Bangunan runtuh di kedua-dua negara, memerangkap ribuan keluarga yang tidur pada waktu awal pagi.

Kemusnahannya sangat besar menyaksikan sukarelawan Syria, White Helmets dan ratusan orang awam sedang berusaha keras untuk menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan sekitar wilayah Idlib.

Setakat ini, jumlah kematian dan kecederaan adalah tinggi dengan kecenderungan meningkat apabila mayat digali keluar.

Klik di sini untuk terus membaca