KUALA LUMPUR - "Ramai mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa."
Itu situasi yang diceritakan seorang doktor warga Malaysia, Dr Syazwan Abu Bakar yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye awal pagi Isnin.
Doktor am berkenaan memberitahu Bernama bahawa beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku, yang turut menyebabkan bangunan berkenaan mengalami keretakan.
"Ketika gempa pertama berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, saya on-call dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.
"Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari, saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan," katanya ketika dihubungi pada Isnin malam (waktu Malaysia).
Dr Syazwan, 34, berkata, beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai keadaan mereka berikutan kesibukan merawat mangsa gempa bumi yang cedera.
"Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini," katanya.
Dr Syazwan yang tinggal seorang diri di Gaziantep berkata, beliau tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan berkenaan juga mengalami keretakan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Keluarganya pula menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.
"Rumah keluarga saya di sana juga retak, jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat," katanya.
‘Ingatkan dunia nak kiamat’
Sementara itu, gegaran kuat disertai runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat yang melanda Turkiye diibaratkan seperti dunia sudah kiamat.
Situasi itu dikongsi seorang warganegara Malaysia yang menetap di sana, dikenali sebagai Hassan kepada aktivis Pertubuhan Syria Care.
Menurutnya, keadaan ketika itu menjadi sangat kelam-kabut dengan semua penduduk berusaha menyelamatkan diri dan ahli keluarga masing-masing.
"Kami semua ketakutan, ingatkan dunia nak kiamat. Semua orang lari bertempiaran menyelamatkan diri.
"Dalam sekelip mata, seluruh bangunan yang ada di situ jatuh, hancur begitu sahaja,” katanya pada Selasa.
Sinar Harian masih cuba untuk mendapatkan Hassan bagi berkongsi perkembangan terkini mengenai situasi di sana.
Difahamkan, beberapa kawasan yang dilanda musibah itu sedang mengalami gangguan elektrik dan internet hingga menyebabkan mangsa sukar untuk berhubung dengan pihak luar.
Klik di sini untuk terus membaca