PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memperlihatkan tercetusnya gelombang hijau yang menyaksikan Terengganu, Kelantan, Kedah dan sebahagian kawasan Parlimen negeri dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Malah, banyak pihak menjangkakan gelombang hijau itu akan berterusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk enam negeri melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Pas serta Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Namun, pembekuan akaun Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, bagi tujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh daripada hasil haram boleh menjadi penghalang kebangkitan gelombang itu.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan terdapat beberapa akaun milik parti yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibekukan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Malah, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui pembekuan itu akan menjejaskan kempen sekiranya PRN berlaku dalam masa terdekat kerana Bersatu adalah sebuah parti kecil dan tidak mempunyai wang yang banyak.
"Kalau tidak ada duit langsung, nak jalankan pilihan raya bukan mudah. Jadi, ia akan menekan usaha kita dalam kempen nanti.
"Tetapi kalau perlu kita berjalan, berjumpa dengan rakyat seorang demi seorang setakat mana yang kita mampu, kita akan teruskan,” kata bekas Menteri Besar Perak itu kepada Sinar Harian sebelum ini.
Di satu sudut lain, pemerhati politik dan pemimpin PN melihat pembekuan akaun Bersatu berkenaan adalah satu cubaan character assassination (membunuh karakter) dan memburukkan imej parti pembangkang sekali gus menyekat kemaraan gelombang hijau, menjelang PRN nanti.
Tidak kurang juga melihat tindakan itu adalah salah satu senjata serampang dua mata digunakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menutup isu kegagalan kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup serta harga barang seperti dijanjikan mereka dalam manifesto PRU15 lalu.
Tindakan itu juga didakwa digunakan untuk melumpuhkan pengaruh PN terutama Pas dan Bersatu yang semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pengundi Melayu ketika ini.
Ia kerana kajian mendapati lebih 54 peratus pengundi Melayu terutama mereka mengundi di saluran tiga, empat, lima dan enam atau individu berusia 18 hingga 45 tahun, lebih gemar menyokong calon PN berbanding BN dan PH pada PRU15 lalu.
Apapun hujahnya, SPRM tidak wajar dipersalahkan dan suruhanjaya itu wajar melakukan siasatan bebas seperti dimaklumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Pukulan buat PN
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir melihat tindakan SPRM membekukan akaun Bersatu mungkin menyebabkan parti itu mahupun PN berdepan kekangan kerana tidak dapat melaksanakan pelbagai aktiviti dan kempen PRN nanti.
Jelasnya, tindakan itu juga mungkin menyebabkan Bersatu tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar gaji kakitangan dan membiayai kos program anjuran Bersatu nanti.
Tanpa dana mencukupi katanya, sudah pasti PN akan menghadapi masalah untuk menggerakkan jentera parti ke peringkat akar umbi.
Tegasnya, kempen PRN memerlukan sejumlah wang yang besar dan pembekuan ini adalah satu pukulan dahsyat kepada PN sekali gus boleh menjadi menghalang kebangkitan gelombang hijau pada PRN ini.
"Bagaimanapun, saya berpandangan tindakan berkenaan tidak menghalang calon PN untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti.
"Ini kerana kalau rakyat sudah tolak PH dan BN serta tetap menyokong PN mereka tetap akan kekal berbuat demikian,” katanya.
Dilihat dari segi sentimen ketika ini, Jeniri menjelaskan, pengundi Melayu dilihat lebih ke arah PN berbanding PH dan BN, malah sokongan itu mungkin kekal pada PRN serta PRU akan datang.
"Jatuh bangun sesebuah gabungan parti politik bukanlah bergantung kepada dana semata-mata.
"Malah, kalau kita lihat sebelum ini biarpun BN mempunyai dana yang besar, namun mereka tetap kalah dan kehilangan beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang kepada PH, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada Pas yang mempunyai dana politik terhad,” katanya.
Jeniri berkata, biarpun rakyat kecewa dengan kegagalan kerajaan pimpinan Anwar menyelesaikan masalah kos sara hidup dan kenaikan harga makanan namun ia tidak menyebabkan PH kalah teruk dalam PRN nanti.
Bagi Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal, pembekuan akaun itu boleh menyebabkan berlaku dua situasi iaitu pertama menyekat kebangkitan gelombang hijau atau peningkatan sokongan pengundi kepada PN pada PRN nanti.
Keduanya, Wan Ahmad Faysal menegaskan, tidak mustahil tindakan itu menyebabkan berlaku kebangkitan gelombang hijau secara besar-besaran kerana wujud undi simpati terhadap PN terutama Bersatu dan tanda kemarahan kepada PH dan BN.
"Apa yang kerajaan campuran hari ini boleh buat untuk menghalang kebangkitan gelombang hijau? Apa yang mereka katakan adalah pembohongan, jadi tiada cara lain, mereka terpaksa cipta fitnah bagi memburukkan PN, malah mereka bergabung tanpa restu pengundi dan rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca