SAYA sebenarnya hanya hendak mencuba, atau lebih tepat lagi hendak tumpang merasa.
"Jangan bos, nanti jadi isu,” kawan saya itu melarang.
"Kenapa pula?”
"Menu itu untuk B40. Utamakan mereka. Kalau orang macam bos pun pakat balun, susahlah.”
Begitu? Dia fikir saya ini apa agaknya.
Tahukah dia saya hanya M40 minus atau B40 plus? Tahukah juga dia, jangan kata orang macam saya, geng T20 pun kadang-kadang macam B40 juga. Lebih kerap tengok syiling daripada not ringgit.
Sebenarnya saya faham apa yang kawan saya itu maksudkan. Dia sekadar menunjukkan prihatinnya terhadap keberangkalian bahawa yang mendapat manfaat daripada program Menu Rahmah yang saya hendak cuba itu bukannya kelompok sasaran, tetapi golongan yang bijak mengambil kesempatan. Maklumlah pada dahi setiap orang bukannya ada cop dia daripada kumpulan T atau M atau B.
Penampilan tidak boleh dijadikan ukuran sebab ramai juga yang B40 pun tetapi gayanya mengalahkan puak K (kayangan).
Dan sebab tidak ada cop di dahilah maka ada T20 atau M40 yang rembat rumah kos rendah yang diperuntukkan kepada B40.
Atas sebab yang sama jugalah kadang-kadang ada pekerja asing dengan selambanya tumpang sekaki menikmati subsidi yang dikhususkan untuk warganegara.
Saya pernah jumpa seorang anak muda, gaya dan penampilan seratus peratus macam orang tempatan. Tetapi bila cakap Melayu berterabur macam orang baru keluar dari kawah air panas. Tetapi dia bukan setakat dapat beli minyak subsidi, anak dara tempatan tanpa subsidi pun dia angkut sekali.
Berbalik pasal Menu Rahmah. Alhamdulillah, di mana-mana orang bercakap mengenainya. Ia usaha yang baik dan patut dipuji.
Memang ada juga mulut-mulut nakal yang berkata, tidak ada apa istimewanya menu itu sebab mereka sememangnya telah ‘makan menu Rahmah’ setiap hari. Bagi saya, itu pandangan orang yang tidak pandai berterima kasih. Orang seperti itu tidak akan pupus sampai bila-bila pun.
Melayan mereka samalah seperti membaca berita tentang orang cerdik-cerdik kena tipu dengan ‘scammer kasih sayang’. Sentiasa ada, tak habis-habis.
Selain memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmati makanan di luar dengan harga berpatutan, Menu Rahmah juga sebenarnya menjadi cerminan pada kebenaran kata orang tua-tua, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
Maksud saya, jika para peniaga serius hendak membantu pelanggannya menikmati makanan dan minuman dengan harga murah, mereka memang boleh melakukannya. Caranya memang ada.
Yang menjadi masalah adalah majoriti peniaga makanan hanya pandai mencari cara untuk menaikkan harga bukan mengurang atau menurunkannya.
Alasannya cukup banyak. Daripada kenaikan harga bahan mentah, kekurangan bekalan, upah pekerja yang tinggi dan bermacam-macam lagi.
Jangan hairan jika mereka menjadikan alasan jarak rumah mereka dengan pasar atau jarak premis perniagaan dengan sekolah anak sebagai faktor penyebab kenapa mereka perlu menjual dengan harga yang lebih mahal.
Untuk menjual pada harga yang lebih tinggi juga, selalunya pembeli ‘dipaksa’ membeli lebih daripada apa yang diperlukan. Porsi dibesarkan supaya harga boleh dilebihkan, sedangkan porsi yang sama boleh dibahagi dua atau dikecilkan lagi dan dijual pada harga yang lebih murah.
Walaupun mereka tahu menjual pada porsi kecil dengan harga lebih murah itu boleh meningkatkan kuantiti jualan, namun ia tidak digemari kerana ‘payah nak kaya’.
Kerajaan, pada hemat saya, boleh menjadikan Menu Rahmah sebagai asas kepada lebih banyak lagi usaha mewujudkan pakej-pakej Rahmah. Barang Runcit Rahmah, Ubat-ubatan Rahmah, Alat Solek Rahmah dan sebagainya.
Dalam keadaan sekarang ini yang patut disegerakan adalah pakej Sayur-sayuran Rahmah. Ia sangat sesuai dilancarkan dalam waktu terdekat.
Beberapa hari lepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuat naik di portal rasminya perbandingan sayur-sayuran sebulan lalu, di mana ada yang meningkat sehingga lebih 160 peratus.
Antara contoh yang diberi adalah harga bendi yang sebelumnya RM6 sekilogram, kini RM16 dengan berat timbangan yang sama. Meningkat 166 peratus. Harga kacang buncis daripada RM6 kepada RM12 (100 peratus) dan harga tomato daripada RM4.50 ke RM10 (RM120).
Sayur-sayuran lain pun khabarnya mengalami kenaikan juga sehingga ada yang berkata, lagi baik beli udang daripada beli sayur.
Tetapi itulah nasib pengguna. Selepas selesai masalah ayam dan telur, timbul pula masalah sayur. Pun begitu kita yakin kerajaan akan berusaha mengatasinya. Yang kita harap cuma satu, janganlah nanti tiba-tiba semua sayur bertukar jadi ‘sayur omega’ pula!....#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca