TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Perikatan Nasional (PN) atas pengumuman barisan kabinet bayangan yang terdiri daripada 28 ahli Dewan Rakyat. Semoga ia seperti di United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand yang akan membolehkan... Klik di sini untuk terus membaca

TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Perikatan Nasional (PN) atas pengumuman barisan kabinet bayangan yang terdiri daripada 28 ahli Dewan Rakyat.

Semoga ia seperti di United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand yang akan membolehkan pembangkang untuk bersaing secara mantap bersama kerajaan di arena dasar dengan dua implikasi.

Pertama, setiap menteri akan dipantau dan disaingi oleh seorang menteri bayangan. Kedua, ahli Parlimen pembangkang dibahagi kepada dua kumpulan – menteri bayangan dan ahli Parlimen barisan belakang (backbenchers).

Ia umpama Liga Premier dan liga bawahan dalam bola sepak.

Jika menteri bayangan lemah, beliau boleh digantikan dengan ahli Parlimen barisan belakang yang mengimpikan menjadi menteri suatu hari nanti.

Menteri juga terpaksa bekerja lebih kuat dan berkesan. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayob yang mengalu-alukan persaingan positif itu.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang mengutuk komposisi barisan kabinet bayangan kerana ia cuma mempunyai seorang bumiputera bukan Muslim, masing-masing dari Sabah dan Sarawak dan tiada seorang Cina atau India.

Sungguh pun PN boleh melantik dua Senator Cina (Gerakan) dan seorang Senator India (Pas) menjadi menteri bayangan, mereka akan kurang berkesan kerana Dewan Negara kita bukan seperti di United Kingdom, Australia dan Kanada, tidak diberi perhatian oleh menteri serta media.

Untuk kabinet bayangan berfungsi, tiga syarat perlu dicapai. Pertama, mesti ada ahli Parlimen pembangkang yang ada di barisan pembangkang supaya menteri bayangan digantikan oleh rakan di barisan belakang jika mereka curi tulang.

Keberanian PN untuk meninggalkan 46 ahli Parlimen di barisan belakang adalah pencapaian pertama yang gagal dilakukan oleh Pakatan Rakyat (2009), Barisan Nasional (2018) dan Pakatan Harapan (2021).

Kedua, kabinet bayangan mesti ‘berjemaah’ setiap minggu untuk menyelaraskan dasar-dasar antara portfolio kementerian dan respons kepada perkembangan semasa.

Sebagai contoh, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim daripada Pas, mengumpamakan wanita sebagai barang, Menteri Bayangan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu membawa isu itu kepada jemaah kabinet bayangan untuk menghasilkan satu penetapan rasmi PN, sama ada setuju atau tidak.

Kabinet bayangan yang tidak ‘berjemaah’ mingguan akan dilupakan dan terkubur dalam masa beberapa minggu.

Difahamkan, mesyuarat pertamanya akan diadakan pada Ahad ini. Semoga media akan memberi perhatian, sama seperti mesyuarat kabinet.

Ketiga, kabinet bayangan mesti diberi sumber dan akses maklumat untuk berfungsi dengan berkesan. Menteri bayangan seharusnya dibayar gaji, mungkin sekitar RM5,000 (sepertiga gaji menteri).

Mereka juga diberikan seorang pegawai penyelidik tetapi tanpa sebarang elaun, pencen dan pembantu lain.

Pemimpin pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainuddin harus memimpin barisan menteri bayangan beliau untuk membuat kunjungan hormat ke atas kabinet Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan pengiktirafan kabinet bayangan di bawah gagasan mulia Malaysia Madani.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca