SHAH ALAM - Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) yang mengumumkan keluar parti dan menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat umpama menggali kubur sendiri.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, keputusan tersebut secara tidak langsung boleh membunuh karier politik ketiga-tiga ADUN itu.
"Melainkan ketiga-tiga ADUN ini mampu membuktikan sesuatu yang menyenangkan hati rakyat di kawasan masing-masing seperti pembangunan. Perkara ini juga menyebabkan mereka hilang kepercayaan meskipun masuk ke mana-mana parti lain apatah lagi jika kembali kepada Warisan.
"Rata-rata rakyat di Sabah juga sudah hilang kepercayaan pada ahli politik. Mereka marah dan berpandangan ahli politik ini tidak sewajarnya berada dalam kerajaan,” katanya.
Pada Isnin, tiga ADUN daripada Warisan iaitu Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak) membuat kenyataan bersama untuk keluar parti menerusi satu video yang tular.
Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan itu sempat memohon maaf kepada Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan menyatakan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan hala tuju parti serta pandangan akar umbi di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, Romzi berkata, ketiadaan implementasi Akta Anti Lompat Parti masih memberi ruang kepada mana-mana pemimpin atau ahli politik meninggalkan parti masing-masing di Sabah.
"Akta Anti Lompat Parti mula disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Sabah sekitar tahun 1986. Orang Sabah dan pemimpin lama inginkan akta itu dilaksanakan untuk mengelakkan hal seperti ini terjadi.
"Apabila Persekutuan sudah melaksanakan akta ini, Ketua Menteri dan Speaker ketika itu mengambil keputusan untuk tangguhkan perkara ini.
"Selagi DUN belum meluluskan akta itu di peringkat negeri, ruang untuk sesiapa melompat parti itu sentiasa ada,” katanya.
Dalam pada itu, Romzi berpandangan kestabilan politik di Sabah masih tidak menentu biarpun Hajiji dilihat menerima banyak sokongan.
"Masih ada yang menuntut Hajiji meletak jawatan. Oleh itu, politik di Sabah sekarang ini boleh disimpulkan sebagai tidak menentu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca