JIKA disingkap sejarah perseteruan UMNO dan parti pembangkang terutama DAP, ia perlu dirungkai saat bermulanya bekas Presiden Singapura, Lee Kuan Yew memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) apabila republik itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Dengan Singapura kemudian keluar dari Malaysia pada tahun 1965, DAP menggantikan PAP dan sejak itu, parti tersebut bertanding dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dengan membawa fahaman politik ideologi sosialis.
Prestasi DAP mula meningkat pada PRU tahun 1969, di mana parti itu buat pertama kalinya memperoleh 13 kerusi Parlimen, diikuti kemenangan 24 kerusi Parlimen pada PRU 1986, PRU 2008 (28 kerusi), PRU 2013 (38 kerusi), PRU14 (42 kerusi) dan PRU15 (40 kerusi).
Perbalahan UMNO dan DAP hakikatnya meninggalkan kesan amat mendalam terhadap kedua-dua parti itu sehinggakan berlaku tragedi hitam pada 13 Mei 1969.
Sejak itu, DAP dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam oleh majoriti pemimpin UMNO dengan doktrin menolak parti sosialis tersebut.
Episod pemecatan bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, juga telah mewujudkan persengketaan sengit di antara UMNO sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau nama asalnya ‘KeADILan’.
Dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, gerakan reformasi bagi menuntut pembelaan terhadap nasib Anwar yang kemudian dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1999 dan tahun 2014, semakin meluas ke seluruh negara.
Natijahnya, PKR dengan pengaruh Anwar berjaya menubuhkan tiga bentuk koalisi yang mengganggu gugat pengaruh UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu Barisan Alternatif (BA) pada tahun 1999, Pakatan Rakyat (PR) pada PRU 2008 dan PRU 2013 serta terakhir, Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dan PRU15.
Melalui PR yang menggabungkan kerjasama PKR-DAP-Pas, lima negeri dikuasai UMNO-BN selama ini berjaya dirampas koalisi berkenaan pada tahun 2008.
Seterusnya, koalisi PH yang tidak lagi disertai Pas namun digantikan parti serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah), akhirnya berjaya menamatkan penguasaan kerajaan UMNO-BN selama lebih 60 tahun apabila memenangi PRU14.
Perubahan seteru
Bagaimanapun, pola politik Malaysia bertukar menjadi semakin dinamik pasca PRU14.
Bermula dengan penubuhan kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) selepas peristiwa Langkah Sheraton pada Mac 2020, yang menyaksikan UMNO dan Pas bekerjasama politik buat kali pertama setelah Pas keluar daripada kerajaan BN pada tahun 1978.
Pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mencipta sejarah politik negara apabila satu perjanjian persefahaman (MoU) ala perjanjian perbekalan dan kepercayaan (CSA) antara kerajaan dan blok pembangkang diketuai PH, ditandatangani bagi menurunkan suhu politik negara yang tinggi ketika itu.
Dinamik politik negara berubah lagi pasca PRU15 apabila sejarah tercipta dengan penubuhan kerajaan campuran membabitkan parti-parti yang berseteru pada PRU15 iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan), beberapa parti kecil dan calon bebas.
Dengan Anwar menamatkan penantian selama 24 tahun untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan buat julung kali menyaksikan penubuhan sebuah Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berfungsi menjamin kelangsungan kerajaan sedia ada, termasuk dalam soal kerjasama politik.
Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama diadakan di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di ibu negara pada Selasa, juga membolehkan Anwar kembali menjejakkan kaki di bangunan keramat UMNO itu selepas 25 tahun dipecat daripada parti tersebut.
Bagi DAP, kehadiran Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook ke bangunan UMNO itu juga menjadi detik penting dalam sejarah politik negara yang menyaksikan api sengketa politik selama 57 tahun telah dipadamkan demi untuk menyelamatkan negara jatuh ke lembah krisis ekonomi yang menakutkan.
Evolusi politik
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abdul Muis menyifatkan perkembangan terkini kerjasama UMNO-PKR-DAP itu satu evolusi politik kepada negara, meskipun belum benar-benar melunturkan kerangka politik parti bersifat perkauman di Malaysia.
Paling penting, evolusi politik pasca PRU15 menunjukkan politik negara semakin anjal dengan setiap parti perlu menerima hakikat mereka tidak mampu untuk berdiri atau bergerak sendirian bagi mendepani mana-mana pilihan raya akan datang.
"Cuma ada satu perspektif yang masih tidak mengubah politik Malaysia iaitu bagaimana kekerasan politik perkauman hanya boleh dilunakkan menerusi kerjasama secara strategik dengan konfigurasi politik itu perlu berlaku secara grand coalition.
"Ini dibuktikan sebagaimana penubuhan koalisi BN selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang menggabungkan parti berseteru dengan UMNO pada ketika itu, Gerakan dan Pas.
"Begitu juga penubuhan Kerajaan Perpaduan yang mengamalkan konsep sama dengan penubuhan BN.
"Setiap parti politik kekal status quo perjuangan, tetapi kerjasama longgar diteruskan demi kestabilan politik kerajaan,” ujar Mujibu.
Mengenai penubuhan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dijangka menjadi platform bagi musuh politik berdamai setelah berseteru sejak sekian lama, Mujibu bagaimanapun masih skeptikal terhadap perkara itu.
"Saya rasa dalam hal ini terutama hubungan UMNO-DAP, kisah perseteruan lama mungkin sukar dipadam dalam masa singkat dengan kedua-dua parti dijangka gagal mengelak pertelingkahan kecil susulan berlainan agenda politik.
"UMNO-DAP sebenarnya masih terperangkap dalam jalur kerjasama politik baharu ini apabila kedua-dua parti berkenaan sukar menjelaskan kepada umum faktor utama mereka terpaksa bekerjasama di antara satu sama lain.
"Namun demi mengukuhkan jajaran politik kerajaan baharu, mereka harus mencari jalan untuk memperluaskan kerjasama di peringkat pusat ke peringkat negeri.
"Untuk masa hadapan, hakikatnya kerjasama kedua-dua parti itu lebih memanfaatkan satu sama lain,” tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca