SHAH ALAM - Pelantikan Badan Penasihat Khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan diharap dapat memberi saranan yang boleh memperbaiki situasi serta kedudukan kewangan negara.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, Badan Penasihat Khas itu juga perlu mengemukakan nasihat yang dapat mengoptimumkan perbelanjaan, hasil diperluas dan beban hutang negara diurus dengan baik.
"Seperti kita semua maklum, hasil kerajaan sebagai peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin menurun manakala perbelanjaan semakin meningkat menyebabkan belanjawan sentiasa defisit.
"Situasi defisit yang berlarutan sejak sekian lama mengakibatkan hutang negara terus meningkat sehingga menghampiri RM1.5 trilion.
"Itulah cabaran utama mendepani kerajaan dan diharapkan panel penasihat khas ini dapat beri nasihat terbaik kepada Menteri Kewangan dalam menangani isu ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Premium.Untuk rekod, pelantikan sebuah Badan Penasihat Khas bukanlah kali pertama berlaku.
Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh, beliau turut menubuhkan satu majlis penasihat bagi merangka kertas kerja kabinet baharu, dianggotai lima tokoh besar negara.
Ia dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien dan Dr Jomo Kwame Sundaram.
Lima tokoh berkenaan dilantik kerana memiliki pengalaman dan kepakaran dalam bidang ekonomi.
Melihat komposisi Badan Penasihat Khas diumumkan Anwar ini, ia diwakili setiap kaum selain latar belakang dan pengalaman masing-masing dilihat dapat menyumbang idea terbaik untuk kesejahteraan ekonomi negara.
Sementara itu, menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, majoriti tokoh dilantik dilihat memiliki kepakaran pasaran modal.
"Berdasarkan komposisi pelantikan dan kepakaran panel badan penasihat itu, saya berpandangan kerajaan mahu mengarah negara kepada pembangunan pelaburan, menarik pelaburan asing langsung, misalnya untuk membuka kilang dan industri di sini,” ujar beliau.
Nuradli juga berpendapat, kerajaan turut beraspirasi meningkatkan pelaburan dalam segmen teknologi dan digital untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
"Secara keseluruhan, pelantikan Badan Penasihat Khas oleh Anwar ini perlu menampakkan fungsi dan keberkesanan dalam membantu menangani pelbagai masalah ekonomi negara.
"Paling penting, mereka perlu tampil dengan saranan bernas untuk menaikkan ekonomi agar rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan kos sara hidup,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca