SHAH ALAM - Badan Penasihat Khas kepada Menteri Kewangan yang baru ditubuhkan bakal memfokuskan usaha dalam membentuk agenda ekonomi Malaysia. Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata, badan itu akan berperanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Badan Penasihat Khas kepada Menteri Kewangan yang baru ditubuhkan bakal memfokuskan usaha dalam membentuk agenda ekonomi Malaysia.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata, badan itu akan berperanan menasihati kerajaan berhubung isu semasa dan cabaran ekonomi negara pada masa akan datang.

Menurutnya, perbincangan awal juga dijangka melibatkan peruntukan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 24 Februari ini.

"Selain membincangkan tentang Bajet 2023, kita juga akan memfokuskan usaha untuk membentuk agenda ekonomi Malaysia.

"Paling penting, kita akan berdiskusi secara terperinci untuk menyelesaikan pelbagai isu yang sedang ditangani oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Kita juga nak lihat bagaimana penasihat yang dilantik ini dapat membantu kerajaan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican untuk mengetuai badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan.

Beliau berkata, empat lagi anggota badan penasihat khas itu ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Profesor Ulung, Dr Rajah Rasiah, Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Kim Leng.

Dalam pada itu, menurut Kim Leng, badan itu akan turut membincangkan langkah bagi menangani kos sara hidup tinggi yang menjadi isu utama bagi rakyat ketika ini.

"Antara lain yang akan dilihat ialah bagaimana untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan transformasi mencapai peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, anggota badan penasihat khas berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pertama pada Jumaat ini.

Ujarnya, mesyuarat tersebut akan menjelaskan tentang hasrat dan jangkaan perdana menteri terhadap badan penasihat itu.

"Kita juga akan membincangkan peranan dan fungsi secara lebih terperinci dan saya yakin kita akan dapat gambaran yang lebih jelas selepas mesyuarat nanti,” kata beliau.

Profil Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan

Tan Sri Mohd Hassan Marican

- Penasihat Petronas (Disember hingga kini)

- Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas

- Ahli Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa untuk Republik Afrika Selatan

- Ahli perniagaan dan tokoh korporat Malaysia

Profesor Dr Yeah Kim Leng

- Felo Kanan dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara Universiti Sunway

- Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA)

- Bekas Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)

- Pemegang Amanah Yayasan Penyelidikan Cukai Malaysia

Datuk Profesor Ulung Dr Rajah Rasiah

- Profesor Ekonomi di Universiti Malaya (UM)

- Profesor Ulung Negara 2017

- Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM (2009-2010 dan 2013-2014)

- Penerima anugerah ‘Best Consultancy Award’ (2017)

Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi

- Pengerusi Sarawak Energy Berhad (2005 hingga kini)

- Pengerusi Naim Holdings Berhad (syarikat hartanah dan pembinaan)

- Pengerusi Eksekutif Ta Ann Holdings Berhad

- Pengerusi Sarawak Plantation Bhd

Datuk Ahmad Fuad Md Ali

- Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd

- Pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan dan perundingan.

- Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Plantations Berhad

- Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (UK)

Klik di sini untuk terus membaca