SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah, kesal kerana partinya tidak menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat pertama wakil parti membentuk Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah, kesal kerana partinya tidak menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat pertama wakil parti membentuk Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ahli Parlimen Muar itu juga menempelak kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa pertemuan itu hanya membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) yang menandatangani perjanjian (MoU) membentuk Kerajaan Perpaduan sahaja, tidak termasuk Muda.

"Saya ingin kongsikan sebelum ini bahawa lampiran satu MoU bahagian A senarai parti membentuk PH termasuk Muda sama seperti parti lain yang membentuk BN dalam bahagian B. Sebab itu sebelum ini wakil MCA, MIC dan GRS turut hadir dalam pertemuan itu.

"Kita bukan hanya menandatangani MoU, malah saya sendiri hadir dalam majlis berkenaan. Kita juga bersetuju dengan semua butiran dalam MoU itu," katanya kepada Sinar Premiu pada Khamis.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menjelaskan tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau email.

Berikutan itu, Perdana Menteri menegaskan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn itu hanya melibatkan parti-parti yang mengasas Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, kata Anwar, pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan tetap menyertai perbincangan secara bersama dalam platform-platform seterusnya.

Anwar (tengah) mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur pada Selasa.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan menegaskan, semua keputusan mengenai hala tuju dan dasar besar membabitkan Kerajaan Perpaduan berkenaan tidak sepatutnya dibuat secara bersendirian tanpa perbincangan terperinci antara parti gabungannya.

"Apabila keputusan dasar besar seperti ini mahu dibuat, ia tidak boleh hanya disampaikan kepada kami supaya diterima 100 peratus, tetapi sepatutnya ada rundingan dan perbincangan. Isu ini amat penting bagi membuktikan tidak wujud salah faham antara rakan komponen Kerajaan Perpaduan khususnya.

"Ada yang tanya kenapa baru sekarang Muda membangkitkan secara terbuka, kerana ini bukan kali pertama. Kami mewakili parti Muda sudah memutuskan beberapa surat kepada Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengadakan perjumpaan bagi menyelesaikan perkara ini, bukan sahaja sekali atau dua kali tetapi sudah tiga kali berbuat demikian," katanya.

Malah Syed Saddiq melahirkan rasa kesal kerana pernah sekali Saifuddin Nasution membatalkan pertemuan dengan pemimpin Muda kurang 24 jam daripada tarikh ia dijadualkan berlangsung.

"Sebelum ini memang pernah ditetapkan tarikh perjumpaan tetapi kurang 24 jam dibatalkan.

Namun kita faham. Kita minta diberikan tarikh baharu seterusnya untuk menyelesaikan isu ini sekali gus kerana tidak mahu merumitkan keadaan dan mahu memastikan bahawa kerajaan hari ini stabil serta dapat fokus isu hak serta kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata, tujuan utama Muda mahu mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi PH adalah untuk membangkitkan isu rakyat dan menuntut penjelasan kerajaan berkenaan isu penarikan peruntukan ahli Parlimen.

"Ini bukan mengenai elaun wakil rakyat tetapi membabitkan bantuan untuk orang susah di kawasan Parlimen masing-masing. Kita juga mahu memastikan kerajaan hari ini memenuhi semua janji-janji dibuat PH semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang.

Syed Saddiq berkata, Muda juga ingin melihat dari sudut reformasi institusi misalnya menyiasat isu penyelewengan dan rasuah dalam perolehan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

"Tetapi selepas PRU, kita cakap ia tidak perlu kerana itu adalah isu lama dan sudah lepas. Ini adalah isu serius dan orang yang membangkitkan isu LCS iaitu Amir Abdul Hadi pula dihadapkan ke mahkamah kerana terbabit dengan perhimpunan aman bagi menyuarakan isu Skandal LCS pada 11 Ogos tahun lalu.

"Jadi di mana keadilannya kerana orang yang membongkarkan isu ini didakwa di mahkamah, manakala perasuah dilepaskan begitu sahaja," katanya.

Berikutan itu, Syed Saddiq berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana Muda ingin fokus kepada dasar demi kepentingan dan kebajikan rakyat serta pembaharuan politik di Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca