MISI menyelamat rakyat negara ini yang diperdaya di Myawaddy, Myanmar membongkar modus operandi lebih mengejutkan apabila sindiket pemerdagangan kini menyasarkan belia Malaysia terutamanya remaja Melayu.
Wartawan Sinar Harian yang mengikuti misi tersebut pada Selasa melalui sendiri detik-detik mendebarkan apabila pasukan penyelamat terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum membawa keluar lima mangsa berusia 19 hingga 26 tahun.
Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan itu ‘terperangkap’ di sebuah bangunan yang menjalankan aktiviti perjudian dikenali sebagai KK Garden, terletak kira-kira dua kilometer dari sempadan Myanmar-Thailand.
Menurut mangsa yang menceritakan detik hitam mereka kepada wartawan Sinar Harian, kisah 'neraka dunia' mereka bermula pada November tahun lalu apabila masing-masing tertarik dengan tawaran kerja hotel dengan gaji lumayan di Singapura yang diiklankan di media sosial.
Malah ejen pekerjaan tersebut akan menanggung sepenuhnya segala kos termasuk pengangkutan. Namun pada hari mahu bertolak ke Singapura, ejen berkenaan memaklumkan lokasi pekerjaan ditukarkan ke hotel di Bangkok.
Desakan hidup untuk mendapatkan gaji lumayan menyebabkan mangsa bersetuju dan sebaik tiba di Bangkok, mereka dibawa menaiki pacuan empat roda menuju ke sempadan memasuki Myanmar meredah kawasan hutan, ladang tebu dan jagung.
Sebenarnya tanpa mereka ketahui, segala kos perjalanan itu telah dicaj ke atas diri mangsa sebagai harga yang perlu dibayar ketika bekerja nanti atau sekiranya mahu pulang ke tanah air.
Tidak seperti kerja dijanjikan, sebaliknya mereka dipaksa bekerja sebagai scammer yang kononnya menjual pelbagai jenis produk secara dalam talian dengan menyasarkan pembeli dari negara lain termasuk Eropah.
Penginapan dan tempat kerja adalah di bangunan sama yang dikawal rapi pengawal keselamatan lengkap bersenjata.
Ketua misi menyelamat yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang mendedahkan, sindiket pemerdagangan manusia itu kini menyasarkan remaja Melayu di Malaysia seawal usia 17 tahun yang mencari kerja gaji lumayan di luar negara.
Ini selepas taktik sindiket berkenaan gagal memancing remaja Cina di Malaysia berikutan kes penipuan membabitkan kaum itu yang dikurung dan diseksa di Kemboja telah mendapat liputan meluas media.
"Pasaran Cina sudah heboh di media. Selepas tidak dapat orang Cina Malaysia, sindiket ini tukar sasar pula orang Melayu. Orang India juga. Itu sebab sebelum pasaran Melayu ini diperluas, kita cuba hentikan.
"Misi kali ini ada empat orang iaitu tiga lelaki Melayu, seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki Cina.
Beliau mendakwa, cara kewujudan sindiket berkenaan sebenarnya mempunyai kaitan dengan pelabur dari China.
Dijual kepada sindiket lainUjarnya, sebelum ini pada 2009, kerajaan Kemboja ada keluarkan 163 lesen kasino untuk dibangunkan di kawasan bersempadanan dengan Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand.
"Ramai pelabur China berminat dan ramai juga pekerja Kemboja yang diambil bekerja. Kawasan tersebut memang membangun dan maju.
"Tetapi selepas 10 tahun, bila Covid-19 melanda, kasino-kasino ini ada masalah berniaga dan kekurangan pekerja. Tapi tetap kena bayar lesen kasino sebanyak AS$3 juta setahun kepada kerajaan Kemboja. Kalau tak bayar, lesen kena tarik.
"Sindiket ini terpaksa cari jalan lain yang singkat iaitu menipu duit orang melalui scammer dalam talian. Mereka cari pekerja dari China, Taiwan dan orang Cina di Malaysia,” katanya.
Kerajaan Taiwan telah berjaya membongkar kegiatan sindiket itu apabila ramai rakyatnya didera dan dicabul selain melarang anak muda bekerja di Kemboja.
Pada masa sama, Malaysia juga berjaya menyelamatkan rakyatnya yang jadi mangsa di negara berkenaan.
Kemudian sindiket ini ubah lokasi di KK Garden, Myanmar dengan mendaftar sebagai syarikat teknologi. Malah Myanmar juga membenarkan pembukaan kasino.
"Ada ramai mangsa penipuan kerja di sini seperti dari India, China, Indonesia dan Bangladesh.
"Ramai juga mangsa ini dijual kepada sindiket lain dengan harga tertentu. Individu berusia 17 hingga 23 tahun boleh cecah AS$85,000 seorang.
"Mereka dibawa ke sini dengan diiringi askar pemberontak Myanmar dan dilatih menjadi scammer selama dua minggu.
"Boleh dikatakan KK Garden ini adalah tempat terakhir hidup mati mereka. Sebab di sini kalau tak capai sasaran duit penipuan, mereka akan diseksa. Perempuan yang gagal akan dijadikan habuan kepada pekerja lelaki yang cemerlang,” dakwa Chon Siang.