SHAH ALAM - Pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen bukanlah satu keputusan yang signifikan kerana akan memberi kesan kepada pembangunan kawasan luar bandar. Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen bukanlah satu keputusan yang signifikan kerana akan memberi kesan kepada pembangunan kawasan luar bandar.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, langkah kerajaan itu juga secara tidak langsung menyukarkan ahli Parlimen untuk menguruskan bajet pembangunan yang sangat terhad.

Ujarnya, peruntukan RM1.3 juta itu tidak mencukupi kerana pembangunan atau pembaikan sesuatu projek perlu mengambil kira beberapa aspek seperti kos binaan dan upah buruh.

"Pengurangan itu memberi kesan terutama pembangunan kawasan luar bandar selain akan menyukarkan kerja ahli Parlimen untuk melaksanakan pembangunan dengan segera dan membaikpulih projek correctional (pembaikan semula) seperti membaiki jambatan rosak.

"Contoh, jika sesuatu projek melebihi peruntukan yang diberikan, mereka terpaksa memohon kepada Jabatan Perdana Menteri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang memerlukan proses panjang.

"Peruntukan RM1.3 juta juga sangat tidak mencukupi kerana peningkatan kos binaan dan buruh,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengesahkan pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar dilaporkan berkata, pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam pada itu, Muhammad Azwan, pengurangan elaun pembangunan itu juga akan menjejaskan kualiti berkaitan kos binaan.

"Sepatutnya bukan dikurangkan sebaliknya dinaikkan peruntukan berkenaan. Kita tahu sekarang kenaikan isu barang mentah, apatah lagi kos binaan,” ujarnya.

Menurutnya, peruntukan pembangunan untuk ahli Parlimen selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri juga dilihat bukan langkah yang sesuai.

"Ini kerana ada sistem birokrasi dalam agensi tersebut dan ia akan melengahkan lagi masa sesuatu projek untuk disiap.

"Kalau boleh terus berurusan tanpa melalui birokrasi yang akan melibatkan proses tender, veto (keputusan) pendaftaran akan menyukarkan atau melambatkan proses,” katanya.

Sementara itu, perunding kewangan, Shamsuddin Kadir pula berpandangan, peruntukan elaun pembangunan kepada ahli Parlimen perlu diselaraskan berdasarkan saiz atau jumlah penduduk di sesuatu kawasan.

Katanya, jumlah elaun bukanlah persoalan utama, sebaliknya kerajaan perlu meneliti semula kaedah yang digunakan supaya setiap rakyat mendapat manfaat yang sama rata.

"Sebaiknya kerajaan memperuntukkan elaun pembangunan mengikut bilangan penduduk terutamanya di Semenanjung.

"Kita dah ada banyak data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jadi gunakan data tersebut untuk mengenal pasti berapa bilangan penduduk di sesuatu kawasan,” katanya.

Menurut Shamsuddin, jabatan audit perlu mengaudit setiap jenis bantuan yang disalurkan bagi memastikan wang tersebut digunakan secara betul dan tidak berlaku pembaziran.

"Perlu ada rekod hitam putih setiap pengeluaran (wang), auditor di negeri berperanan untuk mengaudit ke mana wang itu disalurkan.

"Duit berkenaan perlu segera diklasifikasikan untuk kegunaan apa. Contohnya, jika berlaku kebakaran rumah, ahli Parlimen perlu terus tentukan berapa peruntukan yang perlu diberikan secara one-off kepada mangsa.

"Duit itu juga perlu diberikan menerusi akaun secara dalam talian, bukan secara bersemuka tanpa ada hitam putih supaya bantuan yang dikeluarkan itu dapat direkodkan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca