BANGKOK - Usaha untuk menyelamatkan seorang lagi rakyat Malaysia di penempatan KK Garden, Myawaddy yang terletak di timur sempadan Myanmar telah mengalami kegagalan.
Ini kerana kawalan keselamatan di kawasan tersebut telah diperketatkan oleh sindiket pemerdagangan manusia itu.
Mangsa yang dikenali sebagai Ahmad itu sebelum ini pernah menghubungi Victor Wong, seorang rakyat Malaysia yang berada di Thailand dan banyak membantu dalam misi menyelamatkan mangsa sindiket terbabit.
Bagaimanapun, hanya lima mangsa berjaya dibawa pulang menerusi satu operasi khas tetapi Ahmad yang dirancang untuk cuba melarikan diri secara senyap-senyap tidak dapat berbuat demikian.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, mangsa yang dipaksa bekerja sebagai scammer itu memberitahu bahawa dia pernah didera dan dipukul sehingga dimasukkan ke hospital akibat patah tulang badannya.
"Dia bertindak nekad untuk menggadaikan nyawa dan ingin melarikan diri sebab dia pernah mendengar yang dia akan dijual kepada pihak lain. Itu sebab dia ingin larikan diri.
"Jadi, memang kita cuba bantu dia tetapi Ahmad telah menghubungi kita memberitahu kawalan terlalu ketat dengan tiga anggota sindiket bersenjatakan M16.
"Jadi, dia tidak berani untuk keluar daripada penempatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, meskipun Ahmad tidak berjaya keluar dari KK Garden, pihaknya akan cuba sedaya upaya bagi memastikan Ahmad dapat pulang dengan selamat.
"Kita mungkin terpaksa fikirkan cara lain. Mungkin kita akan minta bantuan (tentera) Panglima Mae Sot untuk membantu menyelesaikan kes ini.
"Mereka sudah berjanji untuk cuba mencari Ahmad dan harap dia dapat diselamatkan dalam masa dua tiga hari ini.
"Kita juga berharap agar dia tidak disorokkan. Kalau disorokkan itu, mungkin (usaha menyelematkan) jadi sukar,” ujarnya.
Jadi saksi dua mangsa wanita dipukul, didera
Sementara itu, salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan menyaksikan sendiri dua wanita dipukul oleh ahli-ahli sindiket di KK Garden, Myanmar.
Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, kejadian itu berlaku pada waktu malam di mana kedua-kedua wanita itu sedang mabuk dan berlaku sedikit kekecohan.
Dia yang berusia 19 tahun berkata, kedua-dua wanita itu juga dipercayai mangsa kepada sindiket berkenaan.
"Di sana boleh mabuk tetapi jangan sampai kacau orang lain. Sebab bila buat kacau, nanti kena report.
"Ada satu malam itu saya nampak ada dua wanita ini, bukan rakyat Malaysia, mereka ditarik rambut dan dipukul atas sebuah kenderaan pacuan empat roda.
"Kalau dengan wanita pun mereka (ahli sindiket) boleh buat macam itu, apatah lagi kita lelaki. Lagi tiada belas kasihan,” kata pemuda berasal dari Batu Pahat, Johor itu kepada Sinar Harian.
Amirul yang bekerja selama empat bulan di kawasan berkenaan berkata, dia sebelum ini pernah menolak pelawaan untuk pulang semula ke Malaysia kerana telah diugut oleh sindiket tersebut.
Jelasnya, sindiket itu bukan sahaja mengancam untuk membunuh mereka, malah turut mengugut ahli keluarga yang berada di Malaysia sekiranya dia bertindak melarikan diri.
"Sebelum ini, Victor Wong pernah selamatkan mangsa-mangsa lain. Kami masa itu pun nak beritahu (Victor) supaya (bawa kami) balik sekali. Sampai masa Victor telefon untuk membawa kami keluar, anggota sindiket dapat tahu dan sudah ugut awal-awal.
"Ini kerana sindiket masih menunggu wang tebusan daripada pihak keluarga kami. Lagi satu, mereka juga ugut nak bunuh keluarga kami, jadi nak tak nak kami terpaksa bertahan di sini,” ujarnya.
Amirul merupakan salah seorang daripada lima mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang berjaya diselamatkan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.
Kesemua mangsa masih berada di Bangkok, Thailand untuk melalui proses perundangan dan dijangka pulang minggu depan.
Klik di sini untuk terus membaca