SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menghormati pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. Katanya, tindakan Perdana Menteri itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menghormati pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Katanya, tindakan Perdana Menteri itu sejajar dengan konsep yang diperjuangkan oleh beliau dalam berhemah menggunakan wang rakyat.

Beliau berkata, meskipun sedikit terkesan dengan pengurangan berkenaan, namun ada cara lain yang boleh digunakan oleh ahli Parlimen bagi membantu masyarakat.

"Mencukupi atau tidak itu agak subjektif. Bila peruntukan itu banyak, banyaklah permohonan yang kita akan dapat penuhi, tetapi kita hormatilah keputusan Perdana Menteri untuk berhemah dalam berbelanja.

"Memang kurang tapi terpaksa bersederhana mengikut keutamaan dalam berbelanja, kita harap pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, komuniti seperti persatuan penduduk teruskan membantu walaupun dana pembangunan dikurangkan,” katanya kepada Sinar Premium.

Dalam pada itu, Azli berharap kerajaan akan dapat meningkatkan semula perbelanjaan tersebut, sekiranya keadaan kewangan negara mengizinkan pada masa akan datang.

"Kita berbelanja ikut apa yang ada, kita terpaksa kurangkan bantuan-bantuan dan permohonan untuk projek kecil pun kita terpaksa teliti dahulu.

"Pengurangan berkenaan dirasai tetapi kita berharap ia akan dinaikkan semula,” kata beliau.

Pengurangan elaun bakal beri impak negatif - Wan Saiful

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan kekhuatiran terhadap kelangsungan pembiayaan pembangunan rakyat setempat, susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan elaun pembangunan ahli Parlimen.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, impak daripada tindakan itu menyebabkan pertolongan kepada rakyat tidak dapat dilakukan semaksimum mungkin.

"Kebimbangan saya, jika dikurangkan akan ada kesan negatif kepada kebolehan wakil rakyat untuk membantu masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, apa yang lebih membimbangkannya adalah terdapat ura-ura yang mendakwa bahawa elaun pembangunan ahli Parlimen itu hanya akan diberikan kepada ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan sahaja.

"Jika ini terjadi, ia adalah satu diskriminasi terhadap mereka yang dipilih oleh rakyat yang berkhidmat di kawasan tersebut,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca