BANGKOK - Mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah diperlakukan tidak ubah seperti binatang apabila mereka dipukul dan diseksa tanpa belas kasihan hingga ada yang menemui ajal.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang yang mengetuai misi menyelamat mangsa sindiket tersebut mendedahkan, seorang daripada mangsa telah meninggal dunia selepas dipercayai didera dengan teruk dan mengalami kecederaan dalaman.
Menurut Chon Siang, terdapat bukti melalui rakaman video dan gambar yang jelas menunjukkan kesemua mangsa diperlakukan seperti binatang.
"Ada antara mereka yang kena seksa dengan dibiarkan badannya tergantung selama sebulan setengah dan ada juga yang kena pukul hingga pengsan serta berdarah.
"Tidak cukup dengan itu, jika ada ada perkara yang menyebabkan sindiket itu tidak puas hati, mereka akan nyalakan rokok dan masukkan ke dalam telinga mangsa hingga ada yang pekak selain ada juga antara mangsa yang tidak diberi makan sampai tujuh hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Sinar Harian yang turut menyertai misi tersebut.
Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum memberitahu, bukti video dan gambar telah dihantar sendiri oleh mangsa kepadanya selain turut dikirim oleh ibu bapa mangsa yang meminta pertolongan beliau untuk menyelamatkan anak-anak mereka.
Jelas beliau, mangsa telah menghantar sendiri video dan gambar ketika masuk seketika ke tandas untuk mengelakkan perbuatan itu disedari ahli sindiket berkenaan.
Difahamkan, sekiranya mangsa gagal untuk memberikan sebarang hasil daripada aktiviti scammer, sindiket akan bertindak dengan meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa dengan bayaran sehingga RM300,000 sebagai balasan untuk melepaskan mangsa.
Sehingga kini lebih 50 mangsa sudah meminta bantuan daripada Chon Siang untuk menyelamatkan diri namun dianggarkan jumlah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar dan Kemboja melebihi 1,000 orang dengan rata-ratanya berusia antara 19 hingga 24 tahun.
"Untuk menyelamatkan kesemua mangsa ini, kerajaan dan pihak berkuasa kena bertindak cepat kerana kita tidak mahu ada lagi kes kematian melibatkan mangsa yang teruk didera,” katanya.
'Tidak sedap hati apabila kenderaan bergerak menuju ke Thailand'
Sementara itu, seorang mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di KK Garden, Myanmar, yang ingin dikenali sebagai Mira memberitahu, dia mula risau dan tidak sedap hati apabila van yang sepatutnya membawa mereka ke Singapura telah bertukar arah dan menuju ke sempadan Thailand.
Dia difahamkan kenderaan itu sepatutnya membawa dia ke Singapura untuk bekerja sebagai pengemas bilik di negara berkenaan, katanya.
Bagaimanapun, menurut Mira yang berusia 19 tahun itu, kenderaan tersebut membawa dia dan mangsa lain yang juga teman lelakinya ke Thailand melalui sempadan di Kelantan.
"Kami ambil masa seminggu (untuk sampai ke Myanmar) kerana melalui jalan tikus.
"Pada awalnya, pihak yang menawarkan pekerjaan ini beritahu kerja (yang saya akan lakukan) adalah sebagai pengemas bilik, jadi saya berfikiran positif sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Mira, dia sama sekali tidak menyangka bahawa dirinya terjerat dengan tawaran daripada sindiket penipuan.
Mengulas mengenai penglibatan dengan sindiket terbabit, Mira berkata, dia pada awalnya menerima tawaran pekerjaan daripada salah seorang kenalannya di Facebook.
Tertarik dengan tawaran yang menjanjikan pendapatan lumayan itu, Mira bertindak menghubungi kenalannya yang dipercayai bekerja sebagai ejen dan diberitahu, pengangkutan turut disediakan.
Cerita Mira lagi, sepanjang perjalanan ke negara berkenaan, mereka turut diarahkan untuk bertukar kenderaan bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, dia yang berasal dari Skudai, Johor itu berkata, selepas menyedari terperangkap dengan sindiket tersebut, mereka minta untuk dibebaskan.
Bagaimanapun, Mira akhirnya berjaya diselamatkan hasil usaha daripada Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang dalam satu misi khas.
Mira bersama empat lagi mangsa yang merupakan lelaki berusia hingga 26 tahun itu terperangkap di negara berkenaan sejak empat bulan lalu, sebelum meloloskan diri memasuki sempadan Thailand pada Isnin lepas.
Mereka kini berada di bawah pengawasan pihak berkuasa Thailand dan perlu melalui beberapa proses perundangan negara terbabit serta dijangka pulang ke Malaysia minggu depan.
Klik di sini untuk terus membaca