SHAH ALAM - Tindakan kerajaan membuat pengurangan elaun pembangunan bagi setiap ahli Parlimen adalah berkemungkinan bersifat sementara berdasarkan faktor kewangan negara ketika ini. Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan membuat pengurangan elaun pembangunan bagi setiap ahli Parlimen adalah berkemungkinan bersifat sementara berdasarkan faktor kewangan negara ketika ini.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, beliau secara peribadi yakin bahawa langkah penjimatan itu dilakukan hanya bersifat sementara dan setiap wakil rakyat akan menerima peruntukan lebih baik atau sama seperti sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, biarpun bersifat sementara atau sebaliknya, kerajaan perlu menjelaskan pemotongan tersebut dan ke manakah wang daripada proses pengurangan itu dibelanjakan, seperti untuk menambah baik sektor pendidikan atau keselamatan negara.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menjelaskan mengenai peruntukan pembangunan yang telah dipotong itu disalurkan atau ditambah kepada agensi-agensi di bawah kerajaan.

"Bagi saya, tindakan kerajaan melaksanakan pemotongan peruntukan pembangunan dari RM3.8 juta kepada RM1.3 juta kepada wakil rakyat (ahli Parlimen) masih awal untuk dibahaskan.

"Mungkin sekiranya ekonomi dan tahap kewangan negara kembali pulih sepenuhnya, maka mungkin kerajaan akan menambah semula peruntukan dan saya sangat positif berhubung perkara ini.

"Sebaiknya ahli Parlimen bersyukur dan reda seadanya, malah memanfaatkan peruntukan yang diberikan dengan sebaiknya,” katanya kepada Sinar Premium.

Syed Ibrahim berkata, bagi peruntukan pembangunan di setiap Parlimen, kerajaan perlu melihat kepada faktor keluasan, kepadatan penduduk dan lokasi kawasan yang ditadbir sama ada di kawasan bandar atau di pedalaman.

Katanya, pertimbangan peruntukan dana sewajarnya sangat diperlukan oleh seseorang ahli Parlimen bagi membangunkan kawasan masing-masing dengan sebaiknya sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak.

"Dana secukupnya diperlukan bagi memastikan keperluan rakyat seperti kemudahan fasiliti terbaik dapat disediakan,” ujarnya.

Perkara sama turut dipersetujui oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mahukan Akta Perkhidmatan Ahli Parlimen dapat dilaksanakan secara 'hitam putih' terutama melibatkan isu peruntukan pembangunan.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata, perkara itu sangat penting bagi menjelaskan isu dana peruntukan pembangunan, seterusnya dapat diberikan dalam jumlah yang konsisten demi kesejahteraan orang ramai.

Ini kerana katanya, peruntukan itu akan digunakan dalam pembangunan Projek Mesra Rakyat dan satu jumlah kecil daripada peruntukan itu dibelanjakan untuk pengurusan pejabat ahli Parlimen.

Jelasnya, akta tersebut akan bersifat sistematik bagi melakukan formula kiraan peruntukan kepada setiap ahli Parlimen mengikut kawasan masing-masing sama ada di bandar atau luar bandar, bilangan pengundi dan keperluan masyarakat setempat.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan menganggap pemotongan peruntukan yang dibuat oleh kerajaan ini bersifat sementara dan akan kembali baik pada separuh penggal apabila tahap kewangan negara pulih.

"Selain itu, saya juga berharap kerajaan akan dapat mempertimbangkan peruntukan dana kepada setiap ahli Parlimen dengan mengambil kira seperti kepadatan penduduk, jumlah sekolah yang banyak serta bilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Orang ramai kena faham sekiranya dana yang diterima ahli Parlimen telah dikurangkan kepada 65 peratus, maka peruntukan kepada orang ramai juga terpaksa dikecilkan selaras dengan jumlah dana diterima dan perlu dimanfaatkan sebaiknya, kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca