ALOR SETAR - Pemotongan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta tidak akan menjejaskan pembangunan setempat terutamanya berkaitan kebajikan rakyat.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ini kerana bantuan berkaitan masih disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan dan juga kementerian terlibat.
Katanya, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menilai semua perkara itu setelah ekonomi negara kembali stabil semula.
"Saya yakin ini (pemotongan elaun) dilakukan berdasarkan fakta dan data yang didapati oleh beliau (Anwar).
"Namun begitu, bantuan pembangunan kepada rakyat dan kebajikan rakyat masih tetap terjamin, kerana disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan dan juga kementerian terlibat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mohammed Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah berkata, dalam menghadapi krisis ekonomi, ahli Parlimen juga perlu bersama-sama kerajaan Persekutuan dalam usaha berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah.
"Walau bagaimanapun, saya serahkan semuanya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan sebarang keputusan yang akan dibuat.
"Kita tunggu sehingga selesainya pembentangan bajet yang akan dilakukan pada sesi Parlimen yang akan datang,” ujar beliau.
Mahu PM pertimbangkan pemotongan peruntukan
Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan semula pemotongan peruntukan pembangunan ahli Parlimen.
Bagaimanapun, beliau memahami akan keputusan Perdana Menteri itu susulan perlu mengambil kira keadaan ekonomi negara ketika ini yang belum stabil sepenuhnya selain ia bukanlah keputusan ‘suka-suka’.
"Saya akui RM1.3 juta tidak cukup berbanding RM3.8 juta peruntukan yang diberikan sebelum ini.
"Sebagai contoh di Parlimen Rasah, lebih kurang RM2 juta daripada peruntukan sebelum ini (RM3.8 juta) saya salurkan kepada projek mesra rakyat manakala sebahagian besar lagi adalah kepada pendidikan dan sekolah.
"Jadi, sudah pasti paling terjejas adalah sekolah di bawah Parlimen saya. Justeru saya berharap Perdana Menteri dapat menimbangkan semula keputusan tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca