PADA 2 Februari lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa (JK) Portfolio Ahli Dewan Rakyat PN.
Ia melibatkan semua 74 Ahli Dewan Rakyat PN. Muhyiddin sebagai Ketua Ahli Dewan Rakyat, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Timbalan Ketua), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Ketua Whip), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Timbalan Ketua Whip) dan semua Ahli Dewan Rakyat sebagai Ahli JK Portfolio.
Terdapat 10 portfolio, terbahagi kepada 26 sub-portfolio yang membayangi kementerian-kementerian yang ada kini. Setiap sub-portfolio diketuai seorang ketua portfolio, dibantu oleh beberapa orang Ahli Dewan Rakyat.
Sesetengah pihak menggelar portfolio tersebut adalah kabinet bayangan dan 26 ketua portfolio tersebut ialah menteri bayangan. Mereka mengalu-alukan penubuhannya.
Malaysia tidak mempunyai tradisi kabinet bayangan. Sebelum ini, istilah kabinet bayangan digunakan dua kali iaitu Barisan Nasional (2018) dan Pakatan Harapan (2021) tetapi kedua-duanya tidak berjalan seperti yang diumumkan.
PN memilih untuk berhati-hati dalam menggunakan istilah dan mengatur kerja. Kami tidak mahu mengumumkan sesuatu yang terlalu ideal.
Ini kerana kabinet bayangan hanyalah satu daripada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dalam kerangka lebih besar iaitu reformasi Parlimen.
Ia sukar berdiri sendirian. Kabinet bayangan wajar ditubuhkan bersekali dengan selesainya isu-isu berkait Parlimen yang bebas, peranan Ketua Pembangkang, Akta Pendanaan Politik, peruntukan Ahli Dewan Rakyat, peruntukan kabinet bayangan dan lain-lain.
Dalam tradisi Westminster, kabinet bayangan mengambil masa berevolusi iaitu sejak 1920-an hinggalah ke tahapnya sekarang. Dan ia wujud dalam kerangka lebih besar yang dibicarakan tadi.
Justeru, buat masa ini PN memilih untuk bersederhana dalam istilah. Apa yang penting adalah menjadi pembangkang konstruktif iaitu profesional dan progresif.
Tugas kabinet bayangan terbahagi dua iaitu berhujah melawan kerajaan dan menyediakan alternatif kepada tawaran kerajaan.
Portfolio PN belum menjadi kabinet bayangan tetapi tugasnya lebih besar daripada semak dan imbang yang lazim.
Portfolio akan memantau ucapan-ucapan, pengumuman-pengumuman, dasar-dasar, rang undang-undang dan program-program kerajaan termasuk pelaksanaan dan penilaiannya.
Bergantung kepada isu dan keadaan, kami akan membangkang, meminda, menambah baik, menyokong, memurnikan atau bekerjasama, dengan bertanggungjawab dan adakala kami juga akan mencadangkan sesuatu.
Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN menjadi dokumen rujukan asas. Kami juga merujuk nilai-nilai dan garis-garis besar haluan perjuangan yang menjadi ‘DNA’ PN, contohnya Wawasan Kemakmuran Bersama.
Kami juga akan terlibat dalam inisiatif penting seperti reformasi sistem dan institusi, cadangan Akta Pendanaan Politik, pemurnian dasar sedia ada atau pengenalan dasar baharu dan sebagainya.
Pokoknya, PN mula melangkah ke arah menjadi kerajaan alternatif atau kerajaan menanti.
Ia langkah penting ke arah reformasi yang komprehensif. PN mula melangkah ke arah menjadi kerajaan alternatif atau kerajaan menanti.
Ia langkah penting ke arah reformasi yang komprehensif.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang
Klik di sini untuk terus membaca