PADA 22 November lalu, dunia digital global digemparkan dengan kemunculan aplikasi digelar ChatGPT.Secara ilmiah, ChatGPT bermakna alat pemprosesan bahasa semula jadi yang didorong teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 22 November lalu, dunia digital global digemparkan dengan kemunculan aplikasi digelar ChatGPT.

Secara ilmiah, ChatGPT bermakna alat pemprosesan bahasa semula jadi yang didorong teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk membolehkan kita berbual seperti manusia atau melakukan banyak tugasan dengan chatbot.

ChatGPT membantu manusia menjawab soalan, mengarang e-mel, menyiapkan esei, menyelesaikan tesis, mengubah lagu dan kod.

Penggunaan ChatGPT ketika ini masih percuma kerana ia dalam fasa penyelidikan dan pengumpulan maklum balas. Begitu pun, sehingga 1 Februari, ada versi langganan ChatGPT berbayar digelar ChatGPT Plus.

Dalam tempoh lima hari pertama dilancarkan, ChatGPT telah mengumpul lebih sejuta pengguna.

Paling menarik, Google tidak menunggu masa lama untuk menyaingi ChatGPT bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perang dunia digital.

Gergasi enjin carian China, Baidu pada Rabu turut mengumumkan ia tidak mahu tercicir dan sedang membangunkan chatbot berkuasa AI demi menandingi kejayaan ChatGPT.

Penulis menggelar senario itu umpama gold rush yang pernah melanda Amerika Syarikat (AS). ChatGPT telah membuka mata semua pihak, khususnya Google dan Baidu.

Microsoft dikatakan telah menghabiskan jutaan dolar melabur dalam OpenAI yang turut diterokai awalnya bersama Elon Musk.

Penulis melihat dunia digital terkini dibanjiri aplikasi komputer pelbagai kegunaan bagi memudahkan kehidupan manusia.

Laporan pasukan carian profesional enjin kepintaran dikuasakan AI-Powered Intelligence Engine (AI-PIE), reportlinker.com berpangkalan di Lyon, Perancis mendedahkan industri perisian dan masa depan sektor maklumat teknologi (IT) bakal mencecah AS$1.220 trilion (RM5.25 trilion) dengan jumlah muat turun aplikasi global mencecah 194 bilion.

Laporan itu turut menyatakan segmen pasaran aplikasi permainan mudah alih menyaksikan pertumbuhan luar biasa terutama disebabkan populariti telefon pintar dan peningkatan penembusan internet.

Penulis percaya ChatGPT telah mengejutkan semua pemain besar dalam dunia digital.

Aplikasi ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer merupakan aplikasi ‘bot-sembang’ atau chatbot yang dilancarkan oleh OpenAI (Microsoft) pada November 2022.

Penggunaan ChatGPT menyebabkan pesaing Microsoft umpama terkejut daripada mimpi.

Berdasarkan laporan penganalisis AI-PIE, ChatGPT terpaksa menolak permohonan pengguna baharu yang ketika ini sudah mencecah 57 juta pengguna dalam tempoh sebulan iaitu pada akhir Disember 2022, mengatasi rekod TikTok.

Pembangunan model aplikasi Bard, juga perkhidmatan perbualan berasas AI yang dikuasakan (powered by) model bahasa untuk aplikasi dialog atau language model for dialogue aplication (LaMDA).

Ia menggunakan maklumat Web untuk memberikan maklum balas secara live dan berkualiti tinggi.

Dengan kata lain, Bard berusaha menggabungkan keluasan pengetahuan dunia (world broad knowledge) dengan berasaskan kuasa, kecerdasan dan kreativiti model bahasa yang sangat luas.

Ketika ini, Google Bard masih di peringkat percubaan dan belum bersedia untuk diuji. Hanya pengguna terpilih sahaja mempunyai akses.

Google mengeluarkan ‘versi model ringan LaMDA’ yang juga masih dalam peringkat percubaan menggunakan sistem komputer berkuasa tinggi dan talian jalur lebih lebar bagi memperoleh respons daripada pengguna-pengguna terpilih lain secara zero delay.

Pemilik Google, Alphabet Inc. berpangkalan di Palo Alto, California, dilaporkan akan melancarkan perkhidmatan ‘ChatBot’ berkuasa AI enjin carian ini bagi melayakkan mereka menerajui gelombang digital pengkomputeran terkini.

Berkomunikasi menggunakan ilmu seperti ChatGPT telah dikiaskan dalam surah al-Qalam ayat (68:1-8), terjemahannya bermaksud:

"Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhanmu, kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila. Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.

"Maka kelak kamu akan melihat dan mereka pun akan melihat, siapa di antara kamu yang gila. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat ALLAH).”

Penulis percaya perseteruan ChatGPT, Bard atau Baidu akan membentuk banyak inovasi yang bukan asli, namun ia tetap memberi kelebihan secara ketara.

Kesimpulannya, penulis percaya inovasi ciptaan dunia digital akan terus berpusing seperti roda, yang penting kita tidak ketinggalan!

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca