WASHINGTYON - Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akhirnya mengeluarkan gambar belon pengintip milik China yang ditembak jatuh pada Sabtu lalu. Pusat Perintah Pasukan Armada AS berkongsi foto tersebut menerusi Facebook dan menyatakan belon... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTYON - Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akhirnya mengeluarkan gambar belon pengintip milik China yang ditembak jatuh pada Sabtu lalu.

Pusat Perintah Pasukan Armada AS berkongsi foto tersebut menerusi Facebook dan menyatakan belon pengawasan altitud tinggi tersebut ditemui di luar perairan Myrtle Beach di Carolina Selatan pada Ahad lalu.

Anggota yang terlibat misi menjejaki serpihan itu adalah daripada Pasukan Tempur Ekspedisi Tentera Laut.

Pada Isnin, tentera AS memaklumkan objek yang telah mencetuskan pergeseran baharu bersama Beijing akan dianalisis pakar risikan, malah Washington juga tiada rancangan untuk mengembalikannya semula kepada China.

Sebelum ini, Beijing menegaskan belon tersebut adalah pesawat pemerhati cuaca tanpa tujuan ketenteraan, namun AS percaya ia adalah kenderaan pengintip altitud tinggi yang canggih.

"Keadaan cuaca tidak membenarkan usaha menjejaki serpihan objek itu di dasar laut dengan zon lingkungan yang lebih luas,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby pada Isnin.

Menurutnya, anggota mereka dijangka dapat melaksanakan misi itu dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas proses pemetaan kawasan itu yang dijangka berukuran 1,500 meter (m) x 1,500m dan pada kedalaman kira-kira 15m selesai.

"Ia akan dikaji dengan teliti. Saya tidak dapat pastikan lokasi untuk proses analisis akhir, namun ia akan 'dijaga dengan rapi' oleh komuniti risikan bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di bawah perisikan balas.

"Saya yakin lebih banyak ‘rahsia’ akan terbongkar selepas analisis itu selesai,” tambahnya lagi.

Pentadbiran Presiden Joe Biden melihat kejadian itu sebagai tindakan provokasi melampau oleh Beijing walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh ‘seteru’ mereka hingga pemimpin berkenaan mengarahkan Pentagon supaya menembak jatuh belon pengintip tersebut.

Muncul sejak 2019

Ketika era pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, sebanyak tiga belon pengintip dipercayai milik China pernah terbang di ruang udara AS tanpa berjaya dikesan pada 2019.

Pegawai Pentagon yang memegang peranan sebagai Komander Pusat Perintah Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD), Gen Glen VanHerck berkata, objek itu pada mulanya dianggap sebagai objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti (UFO).

"Terdapat jurang dalam perisikan tentera pada masa itu,” jelasnya.

Laporan yang didedahkan CNN mendakwa Beijing ketika itu, melancarkan dan mengawal belon altitud tinggi yang mampu mencapai kira-kira 19,800m hingga 99,974m selama beberapa bulan.

Trump dan bekas Setiausaha Pertahanan beliau, Mark Esper bagaimanapun menafikan laporan tersebut yang mendedahkan kemunculan belon pengintip itu di ruang udara Hawaii dan Florida.

Insiden tersebut hanya diketahui Biden selepas beliau mengambil alih Rumah Putih pada Januari 2021.

Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan memberitahu penambahbaikan terhadap keupayaan pengawasan di bawah kepimpinan Biden telah meningkatkan keupayaan Washington untuk mengesan ‘objek’ yang tidak dapat dikesan pendahulunya.

"Kami dapat melihat semula kejadian sebelum ini dan coraknya, sekali gus mendedahkan kemunculan belon milik China pernah berlaku kira-kira empat tahun lalu,” katanya.

Insiden belon pengintip itu telah meningkatkan lagi ketegangan AS-China setelah Setiausaha Negara, Antony Blinken pada minggu lalu membatalkan lawatan ke Beijing yang merupakan mesyuarat peringkat tertinggi pertama.

Biden yang cuba meredakan kemarahan Beijing berhubung insiden dramatik itu menafikan Washington mahu terlibat konflik baharu bersama China selepas hubungan kedua-dua negara itu juga agak tegang sebelum ini. - Agensi


INFO


- Belon tersebut berukuran kira-kira 61m tinggi dengan muatan pengawasan sebesar jet penumpang serantau.

- Kementerian Luar China mendakwa belon itu digunakan untuk tujuan meteorologi dan mempunyai keupayaan mengemudi secara sendiri yang terhad. Tiupan angin yang kuat telah menyebabkannya tersasar daripada laluan asal dan memasuki ke ruang udara AS. Ia juga memaklumkan tidak mempunyai maklumat untuk dikongsi tentang syarikat atau entiti yang memiliki belon itu.

- Berkemungkinan diperbuat daripada filem plastik dan bukan lateks.

- Pegawai AS mendakwa puluhan misi sama dilancarkan sejak 2018 merentasi lima benua dan sebahagian daripadanya menyasarkan Jepun, Vietnam, Taiwan dan Filipina.

Klik di sini untuk terus membaca