TIDAK dinafikan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta tiga negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) dan Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pada... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK dinafikan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta tiga negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) dan Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pada tahun ini adalah sangat mustahak.

Tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melewati 70 hari juga disifatkan belum benar-benar menonjolkan pembaharuan atau reformasi tata kelola kerajaan yang dilaung-laungkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selama ini.

Berikutan itu, ramai pemerhati politik bersetuju gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran getir menghadapi PRN enam negeri dengan keutamaan koalisi berkenaan terarah usaha mempertahankan kerajaan Selangor.

Bukan mahu mengetepikan kepentingan lima negeri lain, namun Selangor yang mempunyai populasi lebih tujuh juta penduduk boleh dianggap sebagai ‘jantung’ ekonomi dan sosiopolitik negara bersama Kuala Lumpur di Lembah Klang.

Selangor juga dilihat sebagai batu asas yang menjadi tapak kejayaan PH untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), susulan PH yang dikenali Pakatan Rakyat (PR) ketika itu berjaya merampas negeri berkenaan buat julung kali pada tahun 2008.

Sejak tahun 2008, PH membuktikan Selangor kekal menjadi kubu kuat mereka bersama-sama Pulau Pinang.

Daripada keseluruhan 56 kerusi DUN negeri berkenaan, PH yang ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berjaya memenangi sejumlah 44 kerusi pada PRU14.

Dengan tempoh penggal pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berakhir pada 26 Jun, PRN negeri itu mesti dilaksanakan sebelum 25 Ogos dan ramai mengunjurkan pilihan raya negeri berkenaan akan diadakan seawal bulan Mei tahun ini.

Pencapaian PN dianggap memberangsangkan, lebih-lebih lagi UMNO-BN gagal mempertahankan sebarang kerusi Parlimen, manakala koalisi itu merampas dua kerusi PKR di Parlimen Kapar dan Kuala Langat.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali mengakui PN mempunyai asas kukuh untuk menyatakan keyakinan menawan Selangor pada PRN negeri itu kelak, bersandarkan impak ‘gelombang hijau’ yang masih dirasai rakyat negara ini sejak PRU15 lalu.

PN mampu menang 10-15 DUN

Berdasarkan kajian dibuat, beliau tidak menolak kemungkinan PN mampu menguasai kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu di kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang dan Kapar.

"Daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, kami mengunjurkan PN mampu menang sekurang-kurangnya 10 hingga 15 kerusi DUN di Selangor.

"Namun untuk PN melakar sejarah merampas Selangor dari tangan PH-BN, saya lihat sukar kerana jumlah kerusi campuran yang membabitkan komposisi kaum yang agak sama rata di negeri itu adalah begitu tinggi iaitu sekitar 40 hingga 45 kerusi DUN,” ujar Mazlan.

Di sebalik ancaman gelombang hijau, penguasaan PH yang kini dibantu BN untuk mengekalkan negeri Selangor dijangka tidak tergugat pada PRN negeri berkenaan.

Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira dalam menilai peluang PN adalah sama ada koalisi itu mempunyai kemampuan memperluaskan impak gelombang hijau dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Faktor kemungkinan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dijadikan poster boy PN bagi menarik sokongan pengundi bukan Melayu juga tidak cukup untuk mengukuhkan peluang koalisi itu mencipta kejutan.

Pandangan Mazlan itu bagaimanapun disangkal Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr Afif Bahardin yang menyifatkan keputusan PRU15 tidak semestinya bakal diterjemah sepenuhnya dalam keputusan PRN Selangor.

Dengan PRN Selangor dijangka menjadi referendum pembentukan kerajaan campuran BN-PH di peringkat Pusat, ADUN Seberang Jaya itu yakin pengaruh Mohamed Azmin ditambah sokongan bekas pemimpin utama UMNO yang dipecat dan digantung keahlian baru-baru ini seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Noh Omar dan Shahril Hamdan pastinya memberi nafas baharu kepada PN.

"Tidak timbul isu Azmin ditolak rakyat Selangor kerana rekod perkhidmatan cemerlang beliau sebagai bekas Menteri Besar dan Menteri Kanan Ekonomi sebelum ini membuktikan PN mempunyai barisan kepimpinan berkualiti untuk membawa negeri ini ke hadapan."Jika PN tidak diberi peranan penting itu oleh rakyat Selangor, saya bimbang kerajaan PH-BN ini akan mengulangi sikap kerajaan terdahulu yang tidak berintegriti,” kata Dr Afif.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo melihat PRN Selangor sangat penting dalam menentukan kelangsungan hayat UMNO dalam landskap politik negara.

Dengan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu hanya berbaki 30 peratus pada PRU15, beliau bimbang UMNO akan kehilangan tambahan 10 peratus sokongan pengundi veteran susulan kegagalan parti itu meneutralkan stigma kerjasama dengan PH dan DAP pada PRN Selangor.

"Situasi sekarang pastinya menguntungkan PN. Sebab itu, Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu menggerakkan segera usaha pemulihan UMNO dan memainkan peranan lebih untuk mengharmonikan ahli-ahli parti di enam negeri yang bakal adakan PRN.

"UMNO Selangor juga wajib menuntut parti itu bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN daripada PH. Anwar dan PH perlu bersifat tolak ansur kerana kesanggupan UMNO menerima DAP dalam jajaran politik baharu adalah pengorbanan terbesar parti itu kepada Kerajaan Perpaduan,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca