MESYUARAT Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO pada Selasa lalu sangat signifikan untuk dilihat. Ia bukan sahaja mencatatkan pelbagai lakaran bersejarah, malah tidak pernah dibayangkan sebelumnya.
Sebetulnya, Menara Dato’ Onn sudah menyaksikan pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan UMNO dan Pas setelah sekian lama bermusuhan.
Namun kali ini, ia bukan sahaja menyaksikan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat daripada UMNO, 25 tahun lalu, malah membawa musuh sejati DAP ke dalam premisnya.
Dahulu, kekentalan politik perkauman dan hegemoni UMNO-Barisan Nasional (BN) yang kuat sentiasa menjadikan pembangkang terutama DAP locus standi politik UMNO sebagai punca sokongan. Justeru, sebarang hubungan antara kedua-duanya bak pemali politik selamanya.
Bagaimanapun, perubahan demografi dan pola sokongan menyaksikan dinamika politik negara semakin anjal. Kekuatan UMNO yang semakin mengecil di samping keterpecahan undi yang relatifnya seimbang kepada parti-parti politik memungkinkan segala kemungkinan untuk berlaku.
Ia barangkali sebahagian daripada proses evolusi biasa, berlaku disebabkan perubahan masa dan suasana. Meskipun begitu, evolusi itu masih gagal untuk melunturkan unsur perkauman yang kuat dalam konteks parti politik memandangkan modus operandinya dibentuk berdasarkan unsur tersebut.
Di sebalik keanjalan tadi, unsur perkauman masih menjadi elemen terpenting politik kepartian dan pilihan raya. Untungnya, ia masih boleh dilunakkan kerana sekuat mana pun parti-parti politik mempertahankan status quo masing-masing, tiada pihak yang mampu menang secara bersendirian menghadapi pilihan raya.
Sebelumnya, ia berlaku dengan BN menjadi sebuah gabungan paling stabil, kuat dan kukuh. Beranjak ke masa kini, gabungan politik jelas masih menjadi pilihan selamat tetapi sifatnya sudah semakin longgar. Walaupun ia sudah tidak menjadi stabil, kuat dan kukuh seperti sebelumnya, kerjasama secara muafakat masih menjadi keperluan.
Daripada Langkah Sheraton, kerajaan BN-PN sehinggalah Kerajaan Perpaduan, permuafakatan jelas menjadi kunci kepada keutuhan kerajaan. Malah, lebih banyak perkara melibatkan perubahan-perubahan yang substantif berlaku ketika era ini berbanding permuafakatan era BN.
Meskipun masih gagal melunturkan perkauman, sekurang-kurangnya ia mengendurkan permusuhan. Kelebihan itu mungkin menjadi template politik masa hadapan yang bergerak kepada kerjasama lebih dinamik dan progresif berbanding kerjasama bersifat jumud serta mendominasi.
Persoalannya, bagaimana mahu memastikan kerjasama sedemikian tidak menimbulkan komplikasi memandangkan ia masih belum kalis masalah.
Pengajaran apa yang berlaku era Langkah Sheraton dan krisis sokongan di Kedah, Perak, Melaka serta Johor cukup untuk membuktikannya.
Malah, ketika ini perkembangan politik di Sabah memperlihatkan bagaimana pakatan dalam pakatan – bersahabat di Persekutuan tetapi berlawanan di negeri – menunjukkan indikasi bahana jika permuafakatan yang terlalu longgar mungkin membuka kepada masalah lebih besar.
Permuafakatan mungkin mudah jika ia berlaku di luar kerangka kepartian. Masalah terbesar ialah ego dan kepentingan. Dua aspek inilah yang sering menjejaskan toleransi dan ke-seimbangan pakatan.
Kerana pakatan politik tidak sekadar berpakat dan berintegrasi. Ia juga harus saling berbahagi secara memampas – sesuatu yang paling sukar dilakukan dalam mana-mana pakatan yang semua ahli seimbang kekuatannya.
Sekurang-kurangnya apabila kesemua yang pernah berseteru akhirnya bersama semeja, masih ada sinar bahawa politik permuafakatan kita sedang berevolusi dalam konteks work in progress.
Maka, apakah pertemuan Selasa lalu sebenarnya adalah roadmap kepada penjajaran permuafakatan baharu politik Malaysia, walaupun kerangkanya masih lagi bersifat elit.
Sekurang-kurangnya permuafakatan itulah pilihan yang terbaik ketika ini ketika politik negara sebenarnya memerlukan reset yang sepatutnya bermula dengan pendidikan pengundi, bukannya elit parti.
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca