PADA prinsipnya, jika kita mencari salah dengan tujuan kebaikan, tentunya teguran kita akan diraikan oleh ramai orang. Namun, jika kita sengaja mencari salah bagi semua keadaan dan persekitaran, lama-kelamaan ramai orang akan meluat dengan perbuatan kita.
Persoalannya, mengapa perangai suka mencari salah wujud dalam diri seseorang? Sebetulnya, tidak salah untuk mencari salah.
Pun begitu, jika perbuatannya semakin ketara sehinggakan berasa seronok dengan perlakuannya dan berasa rimas jika tidak mengorek kesalahan orang lain, maka perlakuan tersebut sudah dikategorikan sebagai ketagih. Secara ringkasnya, maksud ketagih ialah rasa ingin benar melakukan sesuatu.
Menurut perspektif psikologi, ketagih adalah tiada kawalan terhadap perlakuannya seperti mengguna dan mengambil sesuatu bahan yang boleh memudaratkannya. Jika tidak melakukan perbuatan tersebut, mereka akan berasa rimas, tidak senang duduk, berdebar dan berpeluh.
Pada masa sama, banyak kajian menunjukkan bahawa seseorang itu bukan sahaja boleh ketagih berkaitan bahan seperti dadah, alkohol dan sebagainya, malah boleh ketagih berkaitan dengan pemikiran, perasaan serta tingkah laku kerana mempunyai tanda-tanda yang hampir sama dengan ketagihan bahan.
Bagi individu yang dikategorikan ketagih berkaitan pemikiran, mereka berasa dirinya begitu sempurna, tiada tolak ansur dalam proses kerja, kebimbangan yang terlampau dan terlalu obses untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati.
Bagi individu yang ketagih dengan tingkah laku pula, dia tidak dapat mengawal diri untuk melakukan jenayah, berjudi, sangat tekun bekerja dan sebagainya sehinggakan boleh memudaratkan diri serta orang lain.
Apa bezanya antara ketagih dengan tabiat? Bagi pemahaman yang mudah, tabiat tidak melibatkan perubahan fisiologi seperti berdebar dan berpeluh jika tidak melakukan perbuatan berkenaan. Namun, jika ketagih, mereka perlu melakukannya untuk hilangkan kerisauan dalam diri.
Justeru, dalam konteks ketagih mencari salah, individu berkenaan berada dalam kelompok ketagih berkaitan perasaan. Persoalannya, bagaimana boleh ketagih mencari salah?
Banyak kajian membuktikan bahawa ketagih untuk mencari salah disebabkan mereka membajai sikap sedemikian sewaktu daripada tunas lagi. Yang jelas, mereka bermula dengan komen mencari salah orang lain dalam platform media sosial terlebih dahulu.
Apabila sudah selesa, komen mengutuk kesalahan orang lain semakin serius dan panas. Akhirnya, mereka berasa semakin hebat dan menjadi lebih berani. Lama kelamaan, sikap mereka menjadi tidak terkawal sehingga mula memfitnah dan mencela keburukan orang lain. Jika tidak bernasib baik, bila dipakai ‘gelang’ oleh pihak berkuasa, barulah menyesal dan insaf diri.
Ingatlah, sifat membuka aib orang adalah amat tercela di sisi agama. Dalam sebuah hadis Riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat al-Tirmidhi).
Pada hemat saya, jika kita berasa ada tanda-tanda ketagihan mencari salah, maknanya kita perlukan perubahan segera. Jika kita malu atau tidak mampu untuk mendapatkan bantuan pakar, carilah kawan-kawan yang baik di sekeliling kita agar dapat menegur segala perbuatan buruk tersebut. Ubahlah diri sebelum bertambah parah.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca