MINGGU lalu, Sinar Harian telah mengeluarkan satu laporan tinjauan peniaga-peniaga mengenai kos sebenar untuk menyediakan sepinggan nasi, sayur dan seketul ayam.
Berdasarkan tinjauan secara bersemuka, rata-rata peniaga mendakwa kos mereka tinggi dan melebihi RM5 bagi hidangan tersebut sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menyediakan Menu Rahmah seperti dicadangkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, seorang daripada peniaga yang enggan dikenali mendedahkan kos sebenar hanyalah RM3.25. Jka diambil kira dengan jumlah keuntungan sebanyak 75 peratus, mereka boleh jual kepada pelanggan sebanyak RM5.68.
Sebaik sahaja laporan itu disiarkan, terdapat banyak komen menarik daripada orang ramai di media sosial termasuk dalam kalangan peniaga yang mempersoalkan angka tersebut.
Lebih menarik apabila ada sebuah portal berita menemu bual seorang peniaga nasi beriani yang mengatakan harga tersebut tidak logik dengan harga makanan yang dijual olehnya.
Dengan kesedaran yang amat tinggi, memang harga makanan amat-amat berbeza mengikut kawasan dan negeri, termasuk harga barang yang tinggi, kos sewa, gaji pekerja dan banyak lagi kos yang terlibat.
Secara dasarnya, kiraan yang dibuat oleh Sinar Harian adalah anggaran berdasarkan pengalaman seorang peniaga makanan yang mempunyai diploma dalam bidang masakan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Jika ingin mengetahui jumlah yang lebih tepat tentang harga untuk sepinggan nasi, sayur dan seketul ayam, mungkin pihak kementerian yang bertanggungjawab boleh buat satu kajian lebih lengkap serta menyeluruh.
Malah, ada peniaga yang mengatakan bahawa mereka sudah lama menyediakan menu nasi bajet atau nasi bujang yang dijual lebih murah berbanding Menu Rahmah.
Sebagai contoh, di sebuah restoran India Muslim di Shah Alam yang menyediakan hidangan nasi putih, telur dadar, sambal belacan, timun dan sup kosong pada harga RM3.50 sahaja!
Sekali lagi, ini membuktikan kata pepatah, kalau hendak seribu daya tetapi kalau tidak hendak seribu dalih diberikan.
Sebenarnya, Menu Rahmah ini bukanlah satu paksaan terhadap mana-mana peniaga tetapi ia dilakukan secara sukarela.
Dengan RM5, peniaga boleh menyesuaikan saiz hidangan dan kuantiti mengikut kos yang sesuai dan pada masa sama boleh menjual makanan pada harga mengikut pasaran.
Jika anda menjual nasi beriani yang menggunakan banyak rempah ratus dan minyak sapi termasuk ayam bersaiz besar, memanglah ia bukan dalam kategori Menu Rahmah. Tetapi kalau saiz nasi beriani dikurangkan dan guna ayam cincang, tidak mustahil boleh jual murah.
Sekarang terpulang kepada peniaga sama ada mereka mahu turut serta dalam usaha murni membantu rakyat yang tergolong sebagai fakir miskin kerana tiada sebarang paksaan pun.
Tetapi dengan apa yang sedang diusahakan kerajaan ini, nampaknya kita dapat melihat terdapat ramai peniaga yang baik hati dan bertanggungjawab di sekeliling kita berusaha menyediakan Menu Rahmah.
Ini sedikit sebanyak dapatlah menukar persepsi sejak sekian lama yang mengatakan para peniaga yang sudah menaikkan harga, sukar untuk menurunkan jualan mereka.
Jadi sebagai pengguna, kita semua perlu main peranan dan menggunakan kuasa untuk membuat pilihan yang tepat serta bijak sesuai dengan kewangan masing-masing.
Bagaimanapun, pada masa yang sama akhbar ini akan terus membantu rakyat untuk menekan dan mendesak kerajaan supaya terus berusaha memastikan kerajaan dapat mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca