BEBERAPA hari lalu, sebuah persatuan Hindu mengadakan satu sidang media bagi pihak ibu bapa seorang pelajar sekolah menengah yang mendakwa guru sekolah berkenaan menggalakkan anak mereka memeluk agama Islam untuk meningkatkan peluangnya... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, sebuah persatuan Hindu mengadakan satu sidang media bagi pihak ibu bapa seorang pelajar sekolah menengah yang mendakwa guru sekolah berkenaan menggalakkan anak mereka memeluk agama Islam untuk meningkatkan peluangnya menjadi seorang pemain bola sepak kebangsaan.

Pihak polis seterusnya membuka kertas siasatan terhadap dakwaan tersebut mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Pada Piala Dunia Qatar 2022 yang baru tamat, 16.5 peratus pemain dilahirkan di negara yang berlainan dari negara diwakili.

Berbanding Piala Dunia pertama pada 1930, hanya lima peratus pemain bukan dilahirkan di negara yang diwakili.

Perancis yang terkenal dengan pusat bola sepak Clairefontaine mempunyai majoriti pemain berasal dari Arab, merupakan anak migran dan tiga pemain yang beragama Islam.

Bagi Morocco – negara Afrika dan Arab pertama untuk sampai ke peringkat suku akhir Piala Dunia, pasukan bola sepaknya terdiri daripada 14 pemain yang dilahirkan di Eropah.

Dengan migrasi dan penghijrahan sedunia, fenomena pemain mewakili negara yang lain dari negara lahirnya menjadi kebiasaan dan Malaysia tidak dikecualikan.

Dalam senarai pemain bola sepak kebangsaan di Piala AFF yang diumumkan Disember tahun lalu, hanya 61 peratus pemain beragama Islam dan salah seorang pemain bukan Islam merupakan pemain naturalisasi yang dilahirkan di Argentina.

Lazimnya, pemain naturalisasi dipilih kerana kelebihan fizikalnya tetapi selepas senarai pemain kebangsaan diumumkan, seorang bekas pemain negara mengulas kepada media bahawa pemain naturalisasi tersebut perlu meningkatkan prestasi permainannya.

Sementara itu, seorang jurulatih berpengalaman pula berkata, pemain-pemain naturalisasi di Asia tidak menunjukkan mutu permainan yang tinggi.

Sebab pemain naturalisasi dipilih jurulatih kebangsaan tidak kita ketahui tetapi yang diketahui ramai adalah bidang bola sepak memerlukan pemain yang mempunyai stamina tinggi, kuat dan pantas.

Sebaik sahaja berita mengenai guru sekolah berkenaan dilaporkan, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa kecewa beliau. Menurutnya, sukan tidak sepatutnya digunakan sebagai alat memecah belahkan masyarakat.

Ramai netizen yang bersetuju dengan Ahli Parlimen Muar itu dan berpendapat bahawa guru sekolah tersebut tidak sepatutnya berbuat demikian.

Guru-guru di sekolah sepatutnya menceritakan kisah Karim Benzema dan Ousmane Dembélé untuk memberikan inspirasi kepada murid.

Guru-guru harus menekankan bahawa kecekalan, disiplin dan keinginan untuk mencapai kejayaan adalah kunci untuk menjadi atlet antarabangsa.

Peristiwa seperti kes guru sekolah berkenaan akan terpahat dalam minda murid yang terlibat dan mungkin akan dibawa sehingga ke alam dewasa.

Kesan terhadap kesihatan mental murid disebabkan tekanan daripada masyarakat, pihak sekolah, ibu bapa dan kawan-kawan tidak dapat dibayangkan terutama setelah kes ini menjadi tumpuan ramai.

Guru sekolah adalah pembimbing generasi muda dan bertanggungjawab membentuk pemikiran kritis murid.

Oleh itu, apabila kes-kes melibatkan perlakuan guru sekolah tular di media sosial, kita diingatkan bahawa penjagaan perlakuan kendiri amat penting walaupun di hadapan budak-budak.

*Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca