MINGGU lalu, Perikatan Nasional baru sahaja selesai melakukan Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional 2023. Banyak percambahan idea baharu yang dapat digarap sepanjang dua hari pemukiman. Pengisiannya bukan sahaja berkisar... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Perikatan Nasional baru sahaja selesai melakukan Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional 2023. Banyak percambahan idea baharu yang dapat digarap sepanjang dua hari pemukiman.

Pengisiannya bukan sahaja berkisar tentang soal politik, perkembangan geostrategik, sosioekonomi dan isu-isu semasa membabitkan rakyat khususnya kos sara hidup, tetapi juga elemen kerohanian.

Paling penting, selaras dengan pemukiman itu, Perikatan Nasional telah melantik ketua-ketua portfolio bagi meneliti, mengkaji dan menjuarai isu-isu membabitkan kementerian berkaitan. Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan.

Ketua-ketua portfolio akan dibantu oleh ahli jawatankuasa portfolio yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain.

Ramai yang salah tafsir menganggap ketua-ketua portfolio ini sebagai Kabinet Bayangan – sebenarnya bukan.

Pastinya, dengan wujudnya portfolio ini, rakyat akan dapat melihat perbahasan, kritikan serta lontaran idea yang berkualiti daripada Perikatan Nasional dalam sesi persidangan Parlimen yang bermula Isnin depan.

Pasukan ini akan melangkah secara sederap dan seirama dalam menegur, menyatakan pandangan serta tidak terkecuali memberi sokongan terhadap perkara-perkara yang baik di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10.

Saya sedar bahawa kerajaan PH-BN belum sampai 100 hari memerintah tetapi sudah banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat.

Satu demi satu kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran serta pencabulan kuasa muncul, yang menimbulkan kegelisahan rakyat.

Isu-isu yang melingkari kos sara hidup rakyat tidak mampu ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN hari ini. Jumlah miskin bandar semakin meningkat.

Kumpulan B40 terus membesar dan kini sudah menjadi sehingga kumpulan B52 tetapi Perdana Menteri tetap berkhayal dengan bahasa-bahasa puitis dan melankolik.

Benar, bahasa-bahasa melankolik ini sedap didengar tetapi apakah ia menyelesaikan masalah rakyat? Isu bekalan telur sehingga kini belum selesai dan sekarang harga sayur pula meningkat sehingga 160 peratus.

Bila ada isu bekalan telur, timbalan menteri boleh kata, "Tidak boleh paksa ayam bertelur” – bila harga ayam mahal, menteri kata "By right kena kurangkan makan ayam”.

Begitu juga dengan isu nepotisme yang dipertahankan oleh Perdana Menteri dengan pelbagai alasan meskipun ramai yang mempersoalkannya khususnya dalam kalangan Perikatan Nasional.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, walaupun turut menegur isu nepotisme tetapi nadanya berbeza sama sekali dengan watak garang Rafizi sebelum ini.Maka, di sinilah peri pentingnya peranan Perikatan Nasional dalam melakukan semak dan imbang.

Pembentukan portfolio ini adalah manifestasi bahawa kami sudah sedia sebagai pembangkang yang kredibel, bertanggungjawab, berkesan, efektif, wibawa dan berintegriti tinggi.

Kepada kerajaan PH-BN pula, perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. It’s time to deliver. Walk the talk please!

*Datuk Seri Hamzah Zainudin ialah Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat

Klik di sini untuk terus membaca