ISTANBUL - Gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan negara jiran, Syria pada awal pagi Isnin telah meranapkan bandar serta mengorbankan ribuan nyawa. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh diketahui mengenai malapetaka dahsyat ini. Bila... Klik di sini untuk terus membaca

ISTANBUL - Gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan negara jiran, Syria pada awal pagi Isnin telah meranapkan bandar serta mengorbankan ribuan nyawa.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh diketahui mengenai malapetaka dahsyat ini.

Bila dan di mana

Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud berlaku pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 18 kilometer berhampiran bandar Turkiye di Gaziantep iaitu penempatan didiami kira-kira dua juta orang.

Kemudian ia disusuli gegaran 7.5 magnitud dan gegaran kecil.

Gempa itu memusnahkan seluruh bahagian bandar-bandar utama di Turkiye dan Syria yang kini dilanda perang.

Wilayah di Syria juga menjadi penempatan didiami jutaan orang yang melarikan diri daripada perang saudara dan konflik lain.

Seorang ayah memegang tangan anak perempuan berusia 15 tahun yang maut kerana terperangkap bawah bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. - AFP

Jumlah korban

Lebih 21,000 orang telah terkorban dan ribuan cedera ketika usaha menyelamat masih berlangsung yang kini memasuki hari keempat (Khamis) dalam keadaan sejuk di mana terdapat mangsa masih terperangkap bawah bangunan runtuh.

Pegawai perubatan berkata pada Khamis bahawa 17,674 orang terkorban di Turkiye manakala 3,377 di Syria yang menjadikan jumlah keseluruhan iaitu 21,051 orang.

Usaha menyelamat telah dihalang cuaca sejuk dengan ais dan salji telah menutup beberapa jalan utama manakala tiga lapangan terbang tidak dapat beroperasi sehingga menyukarkan penghantaran bantuan penting.

Ketika ini, mangsa masih hidup ditarik keluar bawah bangunan runtuh, walaupun pakar bencana memberi amaran bahawa peluang menyelamatkan nyawa menurun secara mendadak selepas 72 jam.

Anggota penyelamat Rusia mencari mangsa masih hidup bawah bangunan runtuh di bandar Jableh, Syria. - AFP

Kemusnahan

Beberapa kerosakan besar berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, apabila seluruh blok bandar runtuh.

Siaran media sosial menunjukkan sebuah istana atas bukit berusia 2,200 tahun yang dibina tentera Rom di Gaziantep telah menyembah bumi.

Sementara di Syria, kementerian kesihatan melaporkan kerosakan di seluruh wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran bahawa dua tapak dalam Senarai Warisan Dunia di bandar lama Aleppo Syria dan kubu di bandar Diyarbaki, tenggara Turkiye telah mengalami kerosakan.

Seorang bapa membawa mayat anaknya yang maut semasa gempa bumi di bandar Jindayris, Syria. - AFP

Bantuan antarabangsa

Ucapan takziah dan tawaran bantuan telah mencurah-curah masuk dari Kesatuan Eropah (EU), PBB, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Washington, China dan Rusia.

PBB menegaskan pada Khamis mengenai keperluan tidak 'mempolitikkan' bantuan kepada mangsa gempa bumi di Syria yang kini berdepan sekatan antarabangsa dan menggesa Washington dan Brussels untuk memastikan tiada halangan bantuan dapat sampai di negara tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berjanji kepada rakan sejawatannya Recep Tayyip Erdogan bahawa AS akan menghantar semua bantuan yang diperlukan.

Presiden Tukiye, Recep Tayyip Erdogan menyaksikan bangunan runtuh semasa melawat bandar Kahramanmaras. - AFP

Sementara itu, Perancis menjanjikan bantuan 12 juta euro (RM56 juta) sebagai bekalan kecemasan kepada Syria.

Penyelaras Syria yang bermastautin PBB, El-Mostafa Benlamlih, menggesa kemudahan akses bantuan ke kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut Syria selain memberi amaran bahawa stok bantuan akan habis.

Sementara itu, Suruhanjaya Eropah merayu negara anggota EU untuk bertindak balas terhadap permintaan Syria bagi membekalkan bekalan perubatan dan makanan ketika keadaan kini menjadi semakin rumit. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca