BUKAN sahaja dipaksa bekerja sebagai scammer sehingga 19 jam sehari tanpa cuti, rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar turut ditampar dan didenda secara fizikal sekiranya gagal mencapai jualan aktiviti penipuan itu.
Mangsa berusia 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ikram berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana terkurung dalam bangunan yang turut menjalankan perniagaan perjudian dan dikawal rapi pengawal bersenjata.
"Dipaksa kerja sebagai scammer yang kononnya menjual beberapa produk. Sasaran kami adalah orang dari negara lain termasuk Eropah kerana urusan dibuat secara dalam talian dan aplikasi media sosial menggunakan bahasa Inggeris.
"Empat bulan saya dekat sana dan setiap hari saya berdoa agar ada orang yang datang tolong. Saya sudah tak tahan dan nak sangat balik Malaysia tapi tak tahu macam mana nak lari, saya takut kena bunuh.
Detik hitam itu bermula apabila dia tertarik dengan ajakan rakan sekampung bernama Farhan untuk bekerja di sebuah hotel di Singapura dengan tawaran gaji lumayan sebanyak AS$2,000 sebulan.
Sindiket yang mengiklankan kerja kosong di media sosial itu turut memberi modal sebanyak RM1,700 kepada mereka berdua bagi urusan membuat pasport, membeli tiket kapal penerbangan, pakaian dan makanan.
"Tapi pada saat-saat akhir, orang ini beritahu kerja pengemas bilik di Singapura itu sudah tidak ada, dan ditukar lokasi kerja ke Thailand.
"Saya dan Farhan berlepas ke Bangkok, Thailand dan apabila sampai sana, ada kereta ambil dan dihantar ke daerah Mae Sot (bersempadanan dengan Myanmar).
"Selepas satu hari bermalam, esoknya pada jam 6 pagi, ada kenderaan pacuan empat roda datang ambil kami bawa masuk Myanmar ikut laluan tikus dan ditempatkan dalam bangunan dikenali sebagai KK Garden,” jelasnya.
Kata anak keenam daripada 11 beradik itu lagi, Farhan yang berjaya diselamatkan pada awal Januari lalu telah memberikan nombor telefon yang digunakan Ikram di Myanmar kepada ketua misi menyelamat, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.
Chon Siang yang merupakan individu penting yang telah membebaskan seramai 91 rakyat Malaysia di Kemboja dan Myanmar.
"Di sana, saya diberikan telefon bimbit untuk urusan scammer tapi semuanya dipantau. Farhan tahu nombor telefon yang saya pegang. Kami berjaya menyampaikan mesej supaya diselamatkan.
"Alhamdulillah, saya sudah terlepas daripada mimpi ngeri ini dan tak sabar nak balik Malaysia,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat yang mendedahkan sindiket penipuan pekerjaan itu kini menggunakan taktik licik apabila menyasarkan remaja terutama dari kalangan belia Melayu untuk menjadi scammer di Myanmar, Laos dan Kemboja.
Wartawan Sinar Harian turut menyertai misi menyelamat penuh mendebarkan di Myawaddy, Myanmar yang bersempadan dengan Thailand itu telah berjaya membawa pulang lima mangsa berusia 19 hingga 26 tahun.
Dikurung, didera dalam bilik gelap selama 5 hari kerana cuba lari
Sementara itu, mangsa-mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang melawan akan dikurung dalam bilik gelap, dipukul dan diseksa lebih daripada 120 jam.
Itu antara pendedahan salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada sindiket penipuan tawaran pekerjaan di KK Garden, Myanmar.
Mangsa yang ingin dikenali sebagai Syamil itu berkata, dia pernah melihat mangsa-mangsa lain dimasukkan dalam bilik tersebut dan keluar selepas empat atau lima hari dalam keadaan lebam-lebam.
"Ada seorang mangsa ini cuba nak lari (dari KK Garden), tetapi gagal. Kemudian saya nampak dia dimasukkan ke dalam bilik gelap, dipukul. Selepas itu, bila dia keluar, saya nampak rambut dia botak dan ada kesan-kesan lebam pada muka dan badan.
"Dalam seminggu juga dia kena masuk dalam (bilik) itu. Mangsa-mangsa yang keluar dari bilik gelap ini, saya dengar mereka tak diberi makan dan didera,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar Syamil yang berusia 25 tahun itu, kesan-kesan penderaan itu ditunjukkan bertujuan supaya memberi amaran kepada mangsa-mangsa lain untuk tidak melawan mereka.
Dalam pada itu, Syamil yang berasal daripada Johor Bahru itu berkata, sepanjang menetap di sana selama empat bulan, ditampar dan dipukul merupakan perkara biasa mereka.
Klik di sini untuk terus membaca