SHAH ALAM - Pasukan Tentera Thailand dikenali Nareasuan Force yang bertugas menjaga kawasan sempadan akan melakukan siasatan dan risikan selepas menerima maklumat mengenai mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar. Difahamkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pasukan Tentera Thailand dikenali Nareasuan Force yang bertugas menjaga kawasan sempadan akan melakukan siasatan dan risikan selepas menerima maklumat mengenai mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar.

Difahamkan pasukan tersebut akan mendapat permintaan untuk mencari individu daripada pemerintah Thailand, termasuk daripada mana-mana negara dan ahli keluarga mangsa.

Jika didapati individu tersebut merupakan mangsa dan tidak mempunyai sebarang masalah atau rekod jenayah, pasukan tersebut akan menjalankan misi untuk berunding dan membawa mereka keluar dari kawasan yang terletak dua kilometer dari sempadan negara tersebut.

Untuk rekod, pasukan tersebut berjaya menyelamatkan lebih daripada 100 mangsa yang terperangkap di KK Garden dan mangsa bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi ada yang datang dari negara yang lain.

Wartawan Sinar Harian yang mengikuti misi menyelamat rakyat Malaysia di Myanmar baru-baru ini, berkesempatan menemu bual Timbalan Komandan Jeneral Pasukan Nareasuan, Kolonel Narongchai Charoenchai di Kem Nareasuan Wilayah Tak.

Menurut beliau, selepas semua maklumat ditapis, tentera akan bergerak ke proses seterusnya iaitu berunding dengan tentera Myanmar ataupun kumpulan yang mengawal sindiket berkenaan.

"Sama ada daripada kerajaan ataupun mana-mana pihak kedutaan negara lain, mereka akan hantar maklumat mangsa kepada Thailand terlebih dahulu.

"Pemerintah Thailand akan periksa sama ada mereka ini mangsa ditipu ataupun mempunyai rekod jenayah.

"Kemudian, barulah perbincangan dengan askar Myanmar atau kumpulan yang mengawal sindiket itu diadakan.

"Selain rakyat Malaysia, pasukan kami juga pernah menyelamatkan mangsa dari negara-negara lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan lima mangsa sindiket yang berjaya diselamatkan dan dibawa ke Kem Nareasuan di Wilayah Tak, Thailand.

Risikokan nyawa

Menurut Narongchai, usaha menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket perlu dilakukan dengan teliti kerana operasi itu merisikokan nyawa tentera.

Tegasnya, usaha menyelamatkan mangsa juga melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, polis dan imigresen.

"Apabila maklumat diperoleh mengenai mangsa dan lokasinya, pasukan keselamatan yang terlibat perlu tapis dulu untuk mengetahui sama ada mereka (mangsa) ditipu atau memang rela hati pergi ke sana.

"Kita bekerjasama dengan semua pihak. Ini bukan usaha (pasukan) tentera semata-mata.

"Kerajaan, polis dan pihak imigresen, semua ini berusaha dalam misi menyelamatkan mangsa,” ujarnya.

Kata Narongchai lagi, Nareasuan Force merupakan pasukan tentera Thailand yang ditugaskan untuk mengawal sempadan antara Thailand-Myanmar.

Beliau mengakui, sekiranya pihak mereka mendapat maklumat ada mangsa yang ditipu dan menjadi mangsa pemerdagangan di Myanmar, pasukannya akan sedaya upaya cuba membantu serta memastikan mereka diselamatkan.

"Ketika pandemik Covid-19, mungkin mereka boleh tangkap (sindiket yang membawa masuk mangsa) sebab sempadan dah ditutup.

"Tetapi apabila sempadan dah dibuka, mereka boleh keluar masuk. Sebab, semua mangsa ada pasport mereka sendiri.

"Apabila tunjuk pasport, mereka dibenarkan masuk kecuali ada orang buat aduan kepada polis. Kalau tidak, kita tidak ada alasan untuk tahan kerana mereka ada dokumen lengkap,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai isu sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar ini perlu diperluaskan supaya orang ramai sedar betapa seriusnya perkara itu.

"Pertamanya, kita berdepan cabaran untuk menguar-uarkan pendedahan mengenai isu-isu seperti ini kepada masyarakat.

"Kita kena beritahu pada orang ramai bahawa tempat itu (KK Garden) memang kawasan larangan dan berbahaya. Apabila perlu pergi ke tempat itu menyelamatkan mangsa, itu memang satu risiko besar pada nyawa mereka.

"Berdasarkan maklumat, lebih 1,000 lagi mangsa yang belum diselamatkan,” ulasnya.

Hati-hati sebelum pilih kerja

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta rakyat negara ini supaya tidak mudah terperdaya dengan janji manis tawaran kerja lumayan di luar negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, rakyat perlu berwaspada bagi mengelak diri tertipu dengan sindiket pemerdagangan manusia yang kini menyasarkan remaja Melayu.

"Jangan percaya bulat-bulat dengan tawaran kerja di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan. Tak kiralah tawaran itu dibuat menerusi media sosial atau kawan-kawan kerana ia hanya perangkap.

"Mahu tak mahu, mereka yang berminat untuk kerja di luar negara perlu ada rasa curiga bagi mengelak ditipu atau dieksploitasi hingga ada yang dijadikan buruh paksa dan scammer,” tegasnya.

Beliau mengulas mengenai laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat yang mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia menyasarkan remaja terutama belia Melayu sebagai mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar, Laos dan Kemboja.

Wartawan Sinar Harian turut menyertai misi menyelamat penuh mendebarkan di Myawaddy, Myanmar bersempadan dengan Thailand sehingga berjaya membawa pulang lima mangsa berusia 19 hingga 26 tahun.

Hishamuddin yang juga Ketua Biro Undang-Undang Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menegaskan, bagi mengelakkan diri ditipu, mereka yang berminat untuk bekerja di luar negara perlu membuat semakan nama majikan dan syarikat yang menawarkan pekerjaan dengan kedutaan Malaysia di negara terbabit.

"Katakanlah kita nak bekerja di Thailand, kena buat semakan dahulu dengan kedutaan Malaysia di Thailand untuk tentukan sama ada syarikat yang tawar kerja itu wujud atau sebaliknya,” tambah beliau.

Hishamuddin menjelaskan, sindiket pemerdagangan manusia itu sangat pintar dan licik kerana sering menukar modus operandi bagi menjerat mangsa.

"Sebelum ini ramai dalam kalangan mangsa berbangsa Cina. Cuma mutakhir ini, kita dapati ramai orang Melayu terutama remaja menjadi mangsa penipuan pekerjaan ini apabila mereka dibawa ke negara-negara seperti Myanmar, Kemboja dan Laos.

"Sekarang sindiket ini bukan sahaja tawarkan kerja di Singapura tetapi turut umpan tawaran kerja konon di Thailand dan Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE),” ujarnya.

Di ISKANDAR PUTERI, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud meminta semua pihak khasnya ibu bapa untuk berhati-hati dalam memilih pekerjaan yang ditawarkan ejen pencari kerja.

Tegasnya, sikap berhati-hati berkenaan mampu membantu mengelak anak-anak mereka yang sedang mencari pekerjaan ditipu oleh pihak ejen pencari kerja berkenaan.

"Harap ibu bapa, semua pihak berhati-hati dengan tawaran kerja daripada ejen-ejen pencari kerja ini...mereka boleh hubungi pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM), pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), untuk sahkan ejen-ejen berkenaan.

"Dalam negara banyak lagi tawaran kerja kosong sedangkan ada jawatan boleh diambil (dimohon) dalam negara, gaji pun agak lumayan juga.

"Tapi pihak syarikat juga perlu berikan peluang atau lihat dahulu kepada pekerja dalam negara, baru (pekerja), luar negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca