SHAH ALAM - Kemelut terkini yang berlaku dalam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuktikan terdapat konflik pertelingkahan besar berlaku antara bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya yang juga presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya berkata, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dua kali itu disahkan bertindak keluar parti berkenaan pada Jumaat kerana kecewa dengan ketidaksabaran anaknya yang mahu membawa Pejuang bergabung di bawah naungan koalisi lebih besar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) sama ada Kerajaan Perpaduan mahupun Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, tindakan sekelompok pemimpin Pejuang dipelopori Mukhriz yang dikatakan mendengar suara akar umbi mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan GTA menyebabkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain mengambil keputusan undur diri.
"Hasrat kelompok pemimpin berkenaan mahu berpisah dengan GTA adalah berlawanan dengan keputusan mesyuarat yang diadakan sebelum ini yang memutuskan bahawa Pejuang bersetuju untuk kekal bersama dengan GTA,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Abu Bakar berkata, persetujuan tidak perlu lagi bersama GTA memberi maksud bahawa kelompok tersebut tidak bersetuju dengan prinsip Dr Mahathir sebagai pengerusi yang mahukan parti itu terus mengadakan kerjasama bersama GTA.
"Perkara ini tidak selari dengan pendirian dan prinsip bekas pengerusi (Dr Mahathir) yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara selain tidak sama sekali bersekongkol dengan kumpulan pemimpin penyangak, pencuri, pembohong serta penipu.
"Sangkaan Dr Mahathir hendak jadikan anaknya sebagai Perdana Menteri terbukti tidak benar sama sekali sebaliknya Tun seorang yang berpegang pada prinsip. Kami yang bertindak keluar dari parti adalah penyokong setia Dr Mahathir, setelah apa yang beliau lakukan dan jasa yang sangat besar kepada negara,” jelasnya.
Pada Jumaat, antara pemimpin dan ahli yang mengikut jejak Dr Mahathir dan Abu Bakar ialah bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Turut meninggalkan Pejuang ialah Armin Baniaz Pahamin, Afiqah Mohamad, Azman Mohd Hashim, Datuk Nuhairi Rahmat, Mohd Jaffri Hussain, Mohamad Jani, Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, dia secara peribadi tidak boleh berada di bawah pemimpin yang tidak agresif, tidak berani bersuara dan gagal melaksanakan pelbagai aktiviti parti dalam mendekati rakyat (dipercayai merujuk Mukhriz).
Oleh sebab itu katanya, beliau mengambil keputusan sama untuk keluar daripada Pejuang setelah Dr Mahathir tekad melakukannya.
Tambahnya lagi, sekiranya perjuangan dan prinsip parti diketepikan sebaliknya perjuangan peribadi diutamakan, maka perkara itu sangat tidak kena dengan perjuangan asal Pejuang ditubuhkan.
Jelasnya, hasil perjuangan tidak boleh dilihat dalam sekelip mata sebaliknya ada tempoh yang perlu dilalui dengan penuh sabar.
Klik di sini untuk terus membaca