SHAH ALAM - Satu kajian perlu dilakukan seandainya mahu meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen. Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, kajian tersebut boleh merujuk kepada mana-mana negara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Satu kajian perlu dilakukan seandainya mahu meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, kajian tersebut boleh merujuk kepada mana-mana negara dunia yang telah menjadikan agensi-agensi penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa Parlimen.

Menurutnya, hasil pelaksanaan dari negara-negara tersebut boleh dijadikan contoh dan pertimbangan kepada gesaan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan tiada campur tangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

"Pastinya ada pros and cons (baik dan buruk) daripada pelaksanaan itu, namun kita boleh mengambil contoh dari negara-negara yang telah melakukannya.

"Malah sewaktu menjadi pembangkang, memang kita minta supaya badan-badan penguatkuasaan dan pendakwaan ini diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Tambah Mohd Sany, status SPRM yang kini berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebenarnya mengundang sedikit kelemahan.

Menurut Mohd Sany, sekiranya sistem kuasa yang ada pada hari ini tidak baik kepada negara atau memberikan ruang kepada pihak pentadbir atau pihak pemerintah untuk mempergunakan SPRM, maka tidak salah untuk menukarnya.

Ujar beliau, tidak mustahil kemungkinan berlaku kejadian campur tangan pihak eksekutif untuk menekan pihak atau tokoh-tokoh tertentu.

"Kita boleh lihat dahulu bagaimana pelaksanaan di negara-negara tersebut (negara dunia yang telah menjadikan agensi-agensi penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa Parlimen). Yang penting bagi kita, badan penguatkuasaan mestilah bebas dan berintegriti dan bukannya bertindak kerana desakan atau tekanan yang disuruh daripada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan seumpama itu, ia diharap dapat memastikan semua badan penyiasatan dan pendakwaan negara, bebas melaksanakan tugas dengan lebih telus, walaupun mungkin akan berlaku sedikit amalan birokrasi.

Jelas Mohd Sany, perkara itu mungkin akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan, namun ia dapat mengelak daripada badan penguatkuasaan negara termasuk SPRM mengikut telunjuk pihak-pihak berkepentingan.

"Kalau betul seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen seperti mana yang diucapkannya semasa berkempen atau perkara itu ditawarkan menerusi manifesto, maka ia perlu dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan kerajaan belum berbincang untuk meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang meletakkan SPRM di bawah Parlimen selepas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuduh Putrajaya menggunakan agensi anti-rasuah itu sebagai alat politik.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim daripada PKR pula menuntut Anwar meletakkan suruhanjaya itu di bawah Parlimen, sebagaimana dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Klik di sini untuk terus membaca