BELALANG ini tak pandai sangat bab-bab pelaburan, jadi tak berani melabur pelik-pelik.
Lagipun pihak berkuasa sudah banyak kali berpesan, kalau pelaburan yang untungnya macam roket naik angkasa janganlah percaya sangat.
Jadi sejak dulu, Belalang biasanya melabur dalam Amanah Saham Bumiputera.
Walaupun prestasinya sejak kebelakangan ini dikatakan rendah dan kurang berbaloi, tapi bagi Belalang yang penting selamat.
Sejak demam tagline ‘Tak hensem tak pa, janji kaya’, ramai juga kawan Belalang yang mencuba pelaburan saham.
Tapi pesan kawan-kawan Belalang, nak main saham pun kena ada ilmu sebab memang berbaloi bila untung, tapi jika rugi mau terduduk juga.
Pun begitu yang paling menakutkan Belalang apabila membaca mengenai pelaburan atau skim cepat kaya.
Walaupun telah berpuluh tahun skim cepat kaya ini didedahkan kepada rakyat Malaysia, tetapi masih ramai yang terpedaya.
Daripada skim cepat kaya Pak Man Telo, Labu Peram, Linggam Telo dan macam-macam lagi.
Yang berubah cumalah namanya.
Terbaru beberapa hari lalu, Belalang geleng kepala bila sekumpulan individu membuat sidang media mendedahkan mereka ditipu satu lagi skim ponzi.
Mendengar namanya saja dah cukup menggoda. Kalau guna Pak Man Telo dah tak seksi, jadi guna nama Ekstra Saving Sapiza.
Percaya atau tidak, bukan 10 atau 20 orang tertipu. Khabarnya lebih 1,000 orang yang terpedaya kerana gelap mata dengan janji palsu penganjur skim.
Bayangkan jumlah kerugian semua mangsa khabarnya lebih RM50 juta. Manakan tidak, ada seorang mangsa contohnya keluar duit simpanan, pinjam duit sanak-saudara untuk labur sampai RM70,000.
Akhirnya duit dilabur jadi lebur.
Berkisah mengenai trend penipuan hari ini, akhbar Belalang sejak tiga hari lalu mendedahkan perbuatan jahat sindiket pemerdagangan luar negara yang memperdaya pemuda pemudi Malaysia.
Sinar Harian mengambil tanggungjawab untuk memerangi sindiket ini habis-habisan selepas mendapat maklumat mereka menyasarkan anak-anak Melayu.
Khabarnya sejak beberapa tahun lalu, sindiket lebih terarah kepada pemuda di Taiwan tetapi apabila kegiatan mereka memukul dan mendera diketahui, kerajaan Taiwan mengambil pendekatan tegas.
Kemudian sindiket menyasarkan pula kepada anak-anak muda Cina di Malaysia sebagai scammer sebab sasaran mangsa ialah orang China.
Tetapi apabila media bahasa Cina memainkan isu ini secara besar-besaran, ibu bapa dan belia Cina di Malaysia sudah sangat berhati-hati.
Sejak setahun lalu, khabarnya tumpuan sindiket kini terarah kepada belia Melayu yang gelap mata apabila dijanjikan gaji dalam dolar Amerika.
Walaupun pada mulanya dijanjikan pekerjaan di Singapura, sindiket kemudian melencongkan perjalanan ke Myanmar dan Kemboja.
Belalang berharap sangat kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu dengan segera untuk menghentikan kegilaan ini.
Tetapi pada masa yang sama, belia kita sendiri perlu ada kesedaran. Janganlah mudah gelap mata dengan tawaran dan janji matawang Amerika!
Belalang: Banyak sungguh auta zaman sekarang.
Klik di sini untuk terus membaca