SHAH ALAM - Kelibat dua lelaki berpakaian hitam merakam wartawan yang menyertai misi menyelamat lima rakyat Malaysia di Myawaddy, Myanmar merupakan detik yang paling mendebarkan.
Situasi itu berlaku apabila saya bersama dengan kumpulan yang menyertai misi tersebut diberikan kebenaran untuk memasuki kawasan pinggir bandar bagi melihat dengan lebih dekat penempatan mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang dikenali sebagai KK Garden.
Kumpulan itu terdiri daripada Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, dua orang pegawai khasnya, termasuk Victor Wong iaitu seorang rakyat Malaysia yang menetap di Thailand, wartawan serta jurugambar daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Kami tidak dibenarkan untuk berada jauh dari kawasan sempadan kerana dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini dan sukar untuk diselamatkan.
Dalam tempoh 10 minit kami berada di kawasan tersebut, tiba-tiba terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih menghampiri kumpulan kami pada anggaran 100 meter sahaja.
Jurugambar Bernama telah menghalakan lensa kameranya ke arah kenderaan tersebut dan melihat terdapat dua orang lelaki berpakaian warna hitam.
Dia memberitahu seorang dari lelaki tersebut dilihat merakam kumpulan kami dengan menggunakan telefon bimbit.
Panik dengan situasi tersebut, Chon Siang telah mengarahkan kami untuk beredar dengan segera dari kawasan itu dan kembali semula ke kenderaan untuk berjumpa dengan pihak berkuasa Thailand bagi membincangkan rancangan untuk membawa balik rakyat Malaysia.
Misi untuk menyelamatkan lima mangsa yang kesemuanya berasal dari Johor itu bermula apabila kami semua tiba di Bangkok, Thailand pada 3 Februari lalu iaitu pada hari Sabtu.
Setelah tiba dan beristirahat di sebuah hotel di bandar Bangkok pada Sabtu, saya berkesempatan untuk temu bual bersama Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berhubung isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar.
Beliau dalam temu bual itu mendedahkan latar belakang cerita mengenai sindiket tersebut dan modus operandi mereka dalam memerangkap mangsa-mangsa terutamanya rakyat Malaysia yang dibawa ke kawasan KK Garden dan bekerja sebagai ‘scammer’.
Lebih mengejutkan, Chong Siang telah menunjukkan beberapa paparan video yang dikongsikan oleh mangsa kepada beliau sebagai bukti-bukti penderaan yang dilakukan oleh sindiket.
Saya amat terkejut apabila melihat video-video penyeksaan yang dilalui oleh mangsa. Antaranya mangsa dipukul oleh dua tiga orang lelaki menggunakan kayu pemukul kriket di bahagian perut, belakang badan dan paha.
Ada juga mangsa yang dalam keadaan diikat dan direnjat menggunakan cota elektrik milik ahli sindiket.
Dalam video tersebut, kedengaran tangisan mangsa yang meminta tolong dan merayu-rayu minta diberi belas kasihan, namun ahli-ahli sindiket semakin kuat ketawa dan tidak menghiraukan permintaan mereka sebaliknya makin ganas dalam menyeksa mangsa.
Selepas selesai temubual bersama beliau selama lebih sejam itu, kami berbincang mengenai jadual perjalanan kami di Mae Sot, lokasi sebuah bandar di barat Thailand yang berkongsi sempadan dengan Myanmar di sebelah barat.
Selain itu, kami turut berbincang mengenai keadaan rakyat Malaysia yang telah diselamatkan di KK Garden dan ditempatkan di kawasan yang selamat serta tempat-tempat yang akan kami melakukan tinjauan ketika berada di sana.
Pada hari Ahad, selepas selesai bersarapan, kami bertolak ke Mae Sot, Thailand jam 9.30 pagi dan perjalanan kami mengambil masa sehingga 10 jam.
Dalam perjalanan ke sana, kami turut mengaturkan perjumpaan dengan Victor yang juga merupakan seorang usahawan dari Malaysia yang sudah lama menetap di negara Gajah Putih itu.
Victor yang juga seorang mualaf itu menjadi orang penting dalam misi tersebut, turut serta ikut bersama kami bergerak ke Mae Sot.
Melalui perbualan saya bersama Victor, lelaki berusia 36 tahun itu memberitahu sudah banyak terlibat dalam misi-misi menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan sindiket penipuan pekerjaan.
KEGIATAN SINDIKET
Banyak maklumat yang kami perolehi daripada Victor, kerana dia lebih memahami selok belok berhubung kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di sebalik KK Garden itu.
Victor atau dengan nama Islamnya, Mohammad Saifuddin Lai Abdullah, memberitahu bahawa dia mula membantu dalam misi menyelamatkan mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak tahun lepas lagi. Sehingga kini dia sudah membantu seramai 82 rakyat Malaysia.
Menurut lelaki yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu, dia mula menyedari mengenai isu tersebut sejak 26 April tahun lalu dan berhasrat untuk membantu rakyat Malaysia.
Berbicara sendiri secara depan dengan Victor, dia merupakan seorang yang berperwatakan baik, gemar berbicara dan banyak membantu kami sepanjang kami berada di negara tersebut.
Boleh dikatakan tanpa bantuan Victor sebagai orang tengah, kemungkinan usaha menyelamatkan rakyat Malaysia di Myanmar agak sukar dijalankan dan mungkin mengambil masa lebih tiga bulan jika melalui proses biasa.
Berbalik kepada perjalanan ke Mae Sot, saya dapat menyaksikan sendiri pengawalan yang dilakukan oleh pasukan tentera Thailand mengawal sempadan sangat ketat.
Kami perlu melalui tiga pondok kawalan pemeriksaan yang setiap satunya ditempatkan seramai sehingga lima orang askar lengkap bersenjata. Mereka turut meminta pasport kami untuk diperiksa sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.
DAPAT PANGGILAN KECEMASAN
Pada jam 4.20 petang, sesuatu luar jangkaan berlaku apabila Victor menerima panggilan kecemasan daripada seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di KK Garden.
Meskipun sukar untuk saya memahami perbualan mereka memandangkan mereka berbicara menggunakan bahasa Mandarin, namun Victor menerangkan kepada kami bahawa mangsa tersebut merancang untuk melarikan diri dari KK garden pada keesokan harinya iaitu pada Isnin.
Mangsa itu nekad melakukan tindakan berani mati itu kerana dia mendapat tahu dirinya akan dijual ke tempat lain termasuk pihak sindiket telah merancang untuk menjual organnya.
Risau akan nasib malang yang bakal menimpanya, mangsa turut memberitahu dia telah didera dengan teruk sehingga dua tulang badannya patah dan dimasukkan dalam hospital.
Bagaimanapun, Victor dengan tenang memberitahu dia akan memaklumkan perkara itu kepada tentera sempadan Thailand supaya mereka dapat memantau situasi tersebut.
Kami berhasrat untuk ke kawasan sempadan tersebut bagi menyaksikan operasi membawa pulang mangsa dilakukan malangnya, pada hari kejadian, tentera Thailand memaklumkan kami tidak dibenarkan berada berdekatan dengan lokasi tersebut sehingga mangsa benar-benar diselamatkan.
Difahamkan, tentera Thailand bimbang tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi menyelamatkan mangsa sekiranya mereka perlu menjaga keselamatan kami.
Bagaimanapun, cubaan menyelamatkan mangsa yang juga merupakan rakyat Malaysia itu di penempatan KK Garden gagal berikutan kawalan keselamatan yang dilakukan di kawasan berkenaan telah diperketatkan oleh sindiket tersebut.
Susulan itu, penantian tentera yang berkawal di kawasan tersebut sejak jam 9 pagi hingga 6 petang itu tidak membuahkan sebarang hasil dan apabila kami sampai di sana, kelihatan tiga buah kenderaan truk milik askar sempadan Thailand dilihat keluar dari sempadan selepas melihat tiada perkembangan sepanjang sembilan jam itu.
Kami bersama Victor berkesempatan berbual dengan askar tersebut dan mereka telah memaklumkan akan membuat persediaan seterusnya bagi menyelamatkan mangsa terbabit.
Bagaimanapun, usaha untuk menyelamatkan mangsa tersebut gagal, sebaliknya pihak berkuasa Thailand hanya dapat membawa keluar lima orang saja dari KK Garden.
Ketika berjumpa dengan mangsa-mangsa yang terdiri daripada empat remaja lelaki dan seorang perempuan, saya dapat melihat ekspresi wajah mereka dalam keadaan muram dan sedih.
Kami kemudian bersama-sama dengan mangsa telah pergi ke sebuah kedai makan berdekatan untuk menjamu selera selepas sembilan jam berada dalam perjalanan.
Di samping itu, saya cuba mencari masa berbual dan ‘menggali’ serba sedikit maklumat daripada mereka.
Selesai sahaja makan malam, saya bersama wartawan Bernama mengadakan temubual bersama kelima-lima mangsa tersebut.
Berdasarkan temubual lebih sejam itu, pelbagai cerita dan pengalaman yang dikongsikan oleh mereka sepanjang mereka berada di sana.
Berdasarkan apa yang diceritakan, KK Garden itu diumpamakan seperti sebuah bandar yang dikelilingi oleh tembok pagar besi yang penuh dengan jeriji besi tidak ubah seperti drama bersiri ‘Prison Break’.
Daripada keterangan mangsa sendiri, penempatan berkenaan mempunyai hampir semua bangunan fasiliti seperti bandar-bandar lain kecuali balai polis.
DIUGUT BUNUH DAN DIROGOL
Menurut mereka lagi, penderaan yang pernah didedahkan oleh mangsa-mangsa lain sebelum ini semuanya benar kerana mereka sendiri mengalami ‘detik hitam’ ketika dipaksa bekerja di sana sebagai ‘scammer’ selama lebih daripada empat bulan itu.
Sama ada lelaki atau perempuan, mereka didera secara fizikal dan mental, malah diugut bunuh serta rogol sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kumpulan sindiket penipuan pekerjaan itu.
Bagaikan mati hidup semula, apabila mereka mula putus harapan untuk kembali ke pangkuan keluarga yang tercinta, namun cahaya harapan mula bersinar kembali apabila salah seorang rakan mereka telah berjaya diselamatkan lebih awal oleh Chong Siang.
Rakan mereka yang berjaya kembali ke Malaysia iaitu Mohammad Farhan Azman, 20, telah meminta bantuan kepada Chong Siang untuk menyelamatkan mereka dari KK Garden.
TINJAU SEMULA
Pada 6 Februari, kami dibawa ke beberapa lokasi yang disyaki menjadi laluan tikus untuk sindiket pemerdagangan manusia menyeludup rakyat Malaysia melintasi sempadan Thailand-Myanmar tanpa dikesan oleh pengawasan tentera Thailand.
Kami menyaksikan sendiri persekitaran laluan tikus seperti yang digambarkan oleh mangsa dimana mereka perlu melalui beberapa perkampungan dan ladang jagung sebelum merentasi Sungai Moei, pemisah antara sempadan Thailand-Myanmar.
Pada Selasa, kami bertolak pulang bersama-sama Victor dan mangsa-mangsa ke Bangkok, Thailand jam 11.50 tengah hari. Kemudian, kami berkesempatan dibawa ke salah satu kem askar sempadan Thailand di Wilayah Tak, Thailand iaitu Kem Nareasuan.
Kami juga turut menemu bual Timbalan Komandan Jeneral Pasukan Nareasuan, Kolonel Narongchai Charoenchai bagi mengetahui sendiri mengenai proses tentera Thailand menyelamatkan rakyat Malaysia daripada sindiket di Myanmar.
Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Bangkok, Thailand dan tiba pada jam 11.30 malam selepas selesai menempatkan mangsa-mangsa di penginapan yang selamat.
Pada Rabu, kami bersama Chong Siang membantu mangsa-mangsa dalam urusan membuat passport baru dan prosedur-prosedur mahkamah lain, memandangkan passport mereka semua telah dirampas oleh sindiket.
Bagaimanapun, urusan passport mangsa-mangsa berkenaan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan akan dapat diselesaikan pada 14 Februari iaitu hari Selasa ini.
Kesemua mangsa berkenaan dijangka tiba ke tanahair pada 15 Februari ini sekiranya prosedur mahkamah di Thailand berjalan dengan lancar.
Memandangkan proses tersebut mengambil masa yang agak lama, Chong Siang memutuskan untuk menamatkan misi itu lebih awal dan pulang ke Malaysia.
NASIB 1,000 LAGI MANGSA
Dalam pada itu, saya turut difahamkan masih terdapat seramai 1,000 orang lagi mangsa yang terperangkap di KK Garden. Sebahagian daripada mereka berkemungkinan terdiri dari rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai nasib mereka, Chong Siang berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Luar dan memberikan bayangan ia adalah misi terakhirnya.
Klik di sini untuk terus membaca