NEGERI Johor dilaporkan telah mengeluarkan fatwa melarang umat Islam daripada menyertai ritual agama bukan Islam semasa perayaan mereka. Ada yang mengkritik fatwa tersebut tetapi baginda Tuanku Sultan Johor pantas menegaskan sokongan baginda kepada fatwa tersebut.
Sesuatu ritual pasti mempunyai signifikan dan falsafahnya yang tersendiri. Apabila ritual itu berkait dengan agama, sudah tentulah kehendak agama berkenaan menjadi keutamaan atau objektif ritual tersebut. Ritual agama lain lazimnya membawa kesyirikan kepada ALLAH SWT kerana mereka tidak mempercayai keesaan ALLAH.
Ia berbeza dengan upacara yang hanya dikaitkan dengan kaum atau budaya kerana tidak menyentuh aspek ketuhanan. Upacara berlandaskan kaum masih boleh diikuti oleh orang Islam seperti sambutan Tahun Baharu Cina.
Bagi umat Islam dosa mensyirikkan ALLAH SWT sangatlah besar dan mesti dijauhi. Ini adalah perintah ALLAH yang jelas.
Amat jelik jika ada yang masih mengatakan tidak kurang iman seseorang itu kepada ALLAH jika menyertai ritual agama bukan Islam yang membawa kepada syirik. Hal ini adalah disebabkan perintah ALLAH itu sendiri dilanggar. Bagaimanakah keimanan seseorang itu jika mengingkari perintah ALLAH.
Kita boleh bertaubat kepada ALLAH SWT atas dosa yang kita lakukan dan memohon diampunkan dosa-dosa kita itu. Namun jika dosa itu adalah dosa besar yang dibuat berulang kali pula bagaimanakah mahu kita mensanitasi dosa-dosa besar tersebut?
Dalam masa yang sama kita mengakui Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama.
Dalam konteks ini Islam tidak pernah menghalang orang bukan Islam dari merayakan perayaan agama mereka. Perayaan agama mereka dilakukan mengikut kepercayaan mereka dan umat Islam tidak boleh menghalang mereka.
Oleh itu wajarlah fatwa yang dikeluarkan Negeri Johor tersebut. Ia bukan bertujuan menghina atau menempelak agama lain tetapi hanya mengawal umat Islam daripada terjerumus ke dalam kesyirikan. Fatwa Johor ini perlu diikuti negeri-negeri lain supaya ia dapat diseragamkan.
Ketika Rasulullah sampai di Madinah, penduduk Madinah merayakan dua hari raya di mana mereka bermain (berseronok) pada hari tersebut sepertimana kebiasaan semua kaum, setiap umat itu bagi mereka hari raya mereka tersendiri. Bagi orang Arab Madinah ketika zaman jahiliah terdapat dua hari yang mana mereka bergembira pada hari tersebut.
Apabila Nabi SAW melihat mereka menyambut dua hari tersebut) Nabi bertanya: "Hari apakah dua hari ini?" Mereka menjawab: "Adalah kami di zaman jahiliah bermain (berseronok) dalam dua hari ini."
Nabi SAW menjawab: "Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik dari dua hari tersebut iaitu hari raya al-Adha dan hari raya al-Fitr.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaie dari Anas Bin Malik.)
Di dalam hadis ini jelas menunjukkan dua hari raya di zaman jahiliah yang disambut oleh penduduk Madinah di peringkat awal itu tidak diiktiraf oleh Nabi, walau untuk membiarkan mereka bermain pada dua hari tersebut sepertimana adat kebiasaan yang mereka lakukan sebelum itu.
Daripada Surah al-Kafirun ayat 1-6 pula dengan tegas kita tahu yang bermaksud: "Katakanlah (Muhammad) wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat sebagaimana kamu beribadat. Dan kamu tidak beribadat sebagaimana yang aku beribadat. Dan bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami.
”Oleh itu jelaslah fatwa berkenaan hanya untuk menjaga aqidah umat Islam bukan untuk mempersendakan agama bukan Islam. Mereka berhak menganuti dan mengamalkan agama mereka, bagi umat Islam pula janganlah terjerumus ke dalam kesyirikan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca