PENGENALAN naratif Malaysia Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang luar biasa, unik atau baharu. Ia adalah kesinambungan agenda politik beliau semasa menjadi Timbalan Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

PENGENALAN naratif Malaysia Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang luar biasa, unik atau baharu. Ia adalah kesinambungan agenda politik beliau semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada era 90-an.

Sejak menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1991 dan kemudiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993, Anwar mengumpulkan para cendekiawan, pelobi dan badan bukan kerajaan yang berpengaruh untuk bersamanya.

Rangkaian ini juga membolehkan beliau sentiasa mempunyai idea-idea yang segar dan semasa yang memenuhi optik masyarakat ketika itu.

Kebanyakan penyelidik bersetuju Anwar mula mengangkat istilah masyarakat madani pada September 1995, ketika menyampaikan syarahan Timbalan Perdana Menteri yang bertajuk Islam Dan Pembentukan Masyarakat Madani, dalam sebuah simposium antarabangsa Indonesia - Festival Istiqlal Ke-2.

Sejak itu, terdapat ulasan, cadangan dan juga perbahasan mengenai masyarakat madani yang dibawa oleh Anwar.

Ramai cendekiawan, intelektual, pemimpin masyarakat dan penulis memberi tafsiran dan idea mengenai bentuk dan konsep masyarakat madani yang sepatutnya.

Anwar dalam syarahannya menyatakan idea masyarakat madani adalah terjemahan daripada bahasa Inggeris civil society dan idea diadaptasi dari pemikiran politik Arab yang merujuk kepada frasa ‘mujtama al-madani’.

Kemudiannya, sarjana ulung Malaysia, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, cuba menjarakkan masyarakat madani dari masyarakat sivil.

Syed Naquib al-Attas yang dipercayai antara pemikir terawal membahaskan terma madani, jauh sebelum ucapan Anwar, menyatakan masyarakat madani harus berbeza dengan masyarakat sivil.

Bagi Syeq Naquib, sivil bermaksud kota atau bandar sekular yang mempunyai sistem negara dan indeks moraliti yang berbeza dengan Islam. Manakala madani harus mengambil semangat tamadun Madinah.

Bagaimanapun bagi para pemikir lain yang lebih rapat dengan Anwar seperti Dr Sidek Fadzil dan Dr Osman Bakar, cenderung kepada tafsiran masyarakat madani sebagai masyarakat sivil.

Jika diteliti, perbahasan mengenai bentuk masyarakat madani Anwar ketika itu bukanlah bertujuan mencorakkan politik negara secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu gerakan politik halus.

Justeru pengangkatan masyarakat madani ketika itu hanyalah melalui forum, penulisan, liputan media dan retorik ucapan yang meluas tanpa sebarang cadangan perubahan yang bersungguh.

Kini apabila kembali sebagai Perdana Menteri, Anwar sekali lagi melancarkan konsep madani. Ini adalah peluang Anwar untuk membawa perubahan kepada satu negara peradaban yang lebih baik.

Walaupun bermula dengan akronim tonggak madani yang melucukan - iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) - namun Perdana Menteri wajar diberi ruang dan peluang untuk membawa perubahan yang dicanangkan.

Untuk idea negara atau masyarakat madani ini berjaya ia harus bermula dari Perdana Menteri dan budaya politik.

Ini kerana dalam tamadun apa pun, sikap kepimpinan negara menentukan jatuh atau bangunnya sesebuah peradaban.

Negara madani hanya akan berjaya jika Perdana Menteri ada keberanian memastikan undang-undang bukan sahaja dilaksanakan secara telus dan adil, malah dilihat bebas dari tangan politik.

Setakat ini ia tidak berlaku. Perdana Menteri terlalu ke hadapan membuat pelbagai tuduhan terhadap musuh politiknya sehingga mendahului siasatan pihak berkuasa.

Setakat ini, Perdana Menteri dilihat lebih banyak menyerang musuh politiknya, berbanding menguruskan negara.

Jika inilah acuan negara madani, maka ia tidak berbeza apa-apa dengan acuan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir pada tahun 2018.

Setakat ini, ‘mazhab politik’ madani belum berupaya berbeza dengan demokrasi orde lama Malaysia.

Setakat ini, madani hanya manis di bibir. Ia semua soal pilihan. Jika Anwar mahu mencari jalan kekal Perdana Menteri berpenggal-penggal, maka orde lama pilihan yang terbaik.

Jika Anwar mahu mencari jalan keberkatan, maka soal jangka hayat jawatan tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk perubahan yang madani.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca