DALAM lawatan rasmi ke Thailand Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi jaminan bahawa Malaysia akan ditadbir dengan sebaik-baiknya, ‘selaras dengan konsep Madani’. Beliau berkata, Malaysia akan bangkit... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM lawatan rasmi ke Thailand Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi jaminan bahawa Malaysia akan ditadbir dengan sebaik-baiknya, ‘selaras dengan konsep Madani’.

Beliau berkata, Malaysia akan bangkit daripada kelemahan sebelumnya yang berpunca daripada tadbir urus yang buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, Malaysia mempunyai peluang untuk bangkit dan maju kembali sebagai sebuah negara demokrasi penting dalam kecemerlangan ekonomi walaupun dengan pelbagai kekurangan sekitar tahun 90-an.

Maaf cakaplah kalau saya kata, rujukan kepada tahun 1990-an itu menunjukkan Anwar masih tidak dapat lari daripada bayang-bayang bekas mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin beliau terlupa yang zaman 1990-an itu adalah zamannya juga. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dia sangat berpengaruh dengan pasukan korporat, pentadbiran awam dan cendekiawan yang mengatasi Dr Mahathir.

Saya rasa lebih baik Anwar menumpukan perhatian kepada masa sekarang dan membina legasi untuk masa depan. Boleh jadi kalau tidak kerana Dr Mahathir membawa Pakatan Harapan kepada kejayaan dalam Pilihan Raya Umum 2018, mungkin tidak semudah dan secepat itu bagi Anwar mendapat pengampunan diraja.

Tolak sebelah hantu dan jembalang masa lampau. Tumpukan perhatian kepada janji mentadbir Malaysia dengan baik. Yang lain akan berlaku dengan sendirinya. Mula-mula sekali beliau kena perbaiki kecacatan yang berlaku ketika penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan banyak watak yang menjadi punca urus tadbir Malaysia rosak dan imej Malaysia cemar.

Saya andaikan yang Anwar dan para penasihat serta penyokong beliau faham di mana kita berada dalam penarafan global berkaitan urus tadbir.

Salah satu kayu ukur yang boleh dikira komprehensif dan berkecuali adalah Petunjuk Tadbir Urus Sedunia (Worldwide Governance Indicators) atau WGI oleh Bank Dunia.

WGI melaporkan petunjuk umum dan khusus bagi lebih 200 negara dan wilayah untuk tempoh 1996–2021. Ia melibatkan enam dimensi tadbir urus yang mencakupi :-

1. Kebebasan bersuara dan kebertanggungjawaban;

2. Kestabilan politik dan ketiadaan keganasan/terrorisme;

3. Keberkesanan kerajaan;

4. Mutu pengawasan;

5. Hukum undang-undang; dan

6. Pencegahan rasuah.

Petunjuk komprehensif ini menggabungkan pandangan badan-badan pakar, orang ramai dan responden kaji selidik dalam bidang perindustrian serta wakil kerajaan.

Petunjuk ini diasaskan kepada lebih 30 sumber data yang dipungut oleh pelbagai institusi kaji selidik, pemikir, organisasi bukan kerajaan, badan-badan antarabangsa dan firma swasta.

Di manakah kedudukan kita dalam penarafan itu? Saya sebutkan 10 negara terbaik dahulu, iaitu Korea Selatan, Switzerland, Denmark, Sweden, Estonia, Jepun, Luxembourg, Jerman, Slovenia dan Ireland.

Negara jiran kita Singapura nombor 23 manakala Indonesia, yang suatu masa dulu dianggap sarang rasuah dan kuku besi, menduduki tempat ke-37 dan Vietnam di tangga 40. Jadi di anak tangga berapakah kita dalam penarafan itu? Jawapannya 73 dengan markah 48.2 peratus.

Tidak menghairankan kerana dalam tempoh tidak sampai lima tahun sehingga tahun 2023 kita ada empat Perdana Menteri, dua daripadanya tanpa mandat pilihan raya. Dalam tempoh itu kita masih berdolak-dalik dengan rasuah.

Kita di Malaysia, hendak memenjarakan seorang perdana menteri kerana rasuah punyalah susah. Malah masih ada orang yang menyanjung dan menyokong beliau. Itu pun masih banyak orang sampai tersembur air liur bercakap tentang agama, bangsa dan negara.

Keadaan tentulah tidak menjadi bertambah baik di mata dunia apabila atas nama perpaduan dan kestabilan, kerajaan ditubuhkan dengan penyertaan watak-watak yang diragui, termasuk yang sedang membela diri di mahkamah.

Kesimpulannya mudah saja. Kita boleh terus tipu diri sendiri dengan berseronok-seronok melaungkan pelbagai slogan dan gagasan tetapi ditertawakan dunia. Atau kita kotakan ikrar janji kita dengan membersihkan negara kita daripada rasuah dan hipokrasi.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca