SHAH ALAM - Sayap wanita muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Pejuanita Muda Malaysia (Pejuanita Muda) mempertahankan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bulan lalu. Ketuanya, Dr Nurul Ashikin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sayap wanita muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Pejuanita Muda Malaysia (Pejuanita Muda) mempertahankan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bulan lalu.

Ketuanya, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, keputusan kolektif itu bagaimanapun menyebabkan beberapa pemimpin parti bertindak mengundur diri termasuk bekas Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, keputusan sebulat suara perwakilan parti daripada Perhimpunan Agung Pejuang yang memutuskan untuk tidak lagi bersama dengan GTA, sekali gus menyebabkan Pengerusi dan 12 ahli yang lain meninggalkan parti.

"Pandangan Tun Mahathir dan mereka yang lain bahawa keputusan Perhimpunan Agung Pejuang untuk bermufaraqah daripada GTA bermakna mereka telah tersingkir daripada Pejuang.

"Namun begitu, hakikat sebenarnya Pejuang tidak pernah memecat mereka (Tun Mahathir dan 12 yang lain).

"Malah Tun Mahathir bersara sebagai Pengerusi Pejuang sebelum kami melangsungkan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM). Jadi Pejuang sama sekali tidak pernah singkirkan Tun Mahathir," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Sehubungan itu katanya, amat jelas sekali keputusan mereka untuk tidak lagi bersama Pejuang adalah sebab perbezaan pendapat berkenaan isu GTA.

Selain daripada isu itu, menurut Nurul Ashikin, tiada permasalahan lain antara Pejuang dan kumpulan yang menarik diri berkenaan kerana apa yang perlu diteruskan adalah memperjuangkan isu agama, bangsa dan tanah air.

"Pejuang sama sekali tidak akan bermusuh dengan mana-mana parti Melayu yang lain termasuk GTA, kecuali UMNO yang berada di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada," katanya.

Keputusan keluar daripada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dibuat ekoran keputusan parti memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Bagaimanapun, bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Wan Azliana Wan Adnan menyuarakan pandangan berbeza dengan Nurul Ashikin.

Tegas beliau, keputusan parti untuk memutuskan hubungan bersama GTA secara langsung menyingkirkan ahli-ahli yang mahu memastikan hubungan dengan rakan gabungan itu diteruskan.

Wan Azliana yang dicalonkan bertanding di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, 'penyingkiran' sebagai ahli Pejuang adalah disebabkan 13 orang ahli termasuk Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.

Katanya, susulan daripada pengumuman peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pejuang, beliau telah pergi berjumpa dengan Tokoh Negarawan itu pada 20 Disember lalu untuk mendengar penjelasan dan berkongsi pandangan berkaitan parti.

"Saya juga turut mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Presiden (Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mendengar penjelasan dan pandangan beliau mengenai hala tuju dan prinsip parti.

"Susulan daripada dua pertemuan tersebut, saya selaku Ahli Majlis Eksekutif Pusat mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada 3 Februari lalu dan keluar daripada menganggotai Pejuang pada 10 Februari lalu bersama Tun Mahathir dan 12 orang pimpinan lain.

"Bagi kami (yang keluar parti) matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, selaku seorang aktivis, beliau masih boleh melaksanakan kesemua agenda dibawa oleh Pejuang itu dengan berkesan melalui platform badan bukan kerajaan (NGO).

"Sebelum aktif dalam Pejuang, saya juga aktif dalam mengendalikan kes-kes guaman membantu masyarakat dan terlibat dalam beberapa NGO antaranya Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) yang telah memulakan inisiatif gerakan menggubal Akta Anti Buli.

"Malah semenjak Rasuah Busters ditubuhkan, saya turut membantu pasukan gabungan yang terdiri daripada lebih NGO ini memerangi gejala rasuah dalam kalangan masyarakat dan parti politik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca