SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk menghidupkan kembali Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur (KL)-Singapura memandangkan pengangkutan dalam negara dan antarabangsa sudah mencukupi.
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berpandangan, kerajaan tidak perlu melabur semula kepada projek HSR sebaliknya memberi perhatian dan keutamaan dalam memajukan hab pengangkutan negara.
"Saya rasa projek HSR itu tidak perlu dikembalikan. Baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan pelan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal melonjakkan status lapangan terbang itu menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan serantau. Jadi, kita sudah ada dua lapangan terbang yang besar di KL.
"Oleh itu, kerajaan boleh memberi perhatian untuk memajukan lapangan terbang yang ada kerana kita tidak mahu kejadian di mana rakyat Malaysia mengambil kereta api laju ke Singapura untuk menaiki penerbangan di sana,” katanya kepada Sinar Premium.
Kamarudin yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Luar berkata, projek HSR hanya akan menambahkan komitmen kerajaan dan pelaburan yang besar dalam negara.
"Maka, akhirnya kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan dan subsidi yang akan menelan kos yang banyak. Saya rasa tidak perlu lagi melabur dalam sistem pengangkutan kereta api untuk ke Singapura.
"Saya berpendapat sekiranya kereta api daripada Johor ke KL dan Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah ada, bermakna keperluan pengangkutan dalam negara dan perhubungan pengangkutan Malaysia ke Singapura sudah mencukupi,” jelasnya.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman yang berkata bahawa republik itu sedia meneliti semula projek HSR dengan kerajaan Malaysia selepas terdapat cadangan untuk menghidupkan semula projek itu.
Sebelum ini, projek besar itu pertama kali dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010 yang mana ia dapat mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Malaysia dari empat jam kepada 90 minit.
Bagaimanapun, projek itu terhenti pada 1 Januari 2021 apabila Malaysia dan Singapura memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir 31 Disember 2020.
Malah, Malaysia membayar SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung melibatkan pembangunan projek HSR serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi turut bersetuju dengan pandangan projek HSR tidak wajar dihidupkan kembali pada saat Malaysia berdepan dengan kekangan ekonomi.
"Persoalannya adakah HSR itu suatu keperluan dan Malaysia mampu melaksanakannya? Kita sudah berdepan dengan kekangan fiskal yang sangat teruk dengan defisit berterusan selama 22 tahun di samping hasil peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin menurun.
"Hutang kerajaan juga hampir RM1.5 trilion jadi kita tidak perlu untuk menambahkan hutang negara. Adalah lebih baik kita mencari sumber fiskal yang ada dan bermanfaat untuk digunakan bagi tujuan lain,” ujarnya.
Nungsari berpandangan, penggunaan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sedia ada sudah memadai dan kerajaan sepatutnya memperbaiki perhubungan itu agar dapat mempertingkatkan lagi penggunaan perkhidmatan tersebut.
"Kita sudah ada ETS dan membelanjakan berbilion ringgit untuk perkhidmatan tersebut. Oleh itu, kerajaan hanya perlu meningkatkan penggunaan pengangkutan itu, bukannya membuat lebih banyak lebuhraya atau HSR.
"Lebih baik fokus diberikan untuk menyiapkan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru ke Singapura,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca