BELUM pun habis cerita ChatGPT yang menjadi fenomena baharu di seluruh dunia, tiba-tiba muncul pula Bard oleh Google. Terkini, Microsoft juga enggan ketinggalan, mahu melancarkan Bing versi baharunya. ChatGPT kerana kehebatannya, dalam... Klik di sini untuk terus membaca

BELUM pun habis cerita ChatGPT yang menjadi fenomena baharu di seluruh dunia, tiba-tiba muncul pula Bard oleh Google. Terkini, Microsoft juga enggan ketinggalan, mahu melancarkan Bing versi baharunya.

ChatGPT kerana kehebatannya, dalam tempoh dua bulan sahaja sudah ada lebih 100 juta pengguna seluruh dunia. Bagaimana pula agaknya Bard dan Bing? ChatGPT misalnya, pernah ‘membantu’ menyelamatkan anak saya yang hampir putus asa untuk membuat kerja sekolahnya. Di United Kingdom (UK), walaupun sekolahnya seperti kita tetapi cara belajarnya jauh berbeza.

Di sini terlalu banyak proses penaakulan. Anak-anak perlu berfikir sendiri dan kreatif. Tapi nampaknya, ChatGPT juga bagai boleh berfikir dan lebih kreatif. Ia boleh cadangkan pelbagai jawapan dan jawapannya pula tampak bijak serta meyakinkan.

Sebelum kehadiran chatbot oleh OpenAI, sebenarnya telah banyak medium untuk mencari maklumat lain seperti Google Search, Wikipedia dan chatbot seperti Chinchilla serta Bloom.

Namun, ChatGPT sepertinya yang paling pintar antara semua. Kita hanya perlu masukkan input atau prompt yang betul dan ia akan terus fikirkan untuk kita. Tinggal kita nak ambil dan gunakan sahaja.

Bing pula katanya jauh lebih pintar kerana ia akan bekerjasama dengan OpenAI. Bukan setakat menjawab soalan, malah boleh mencadangkan kepada kita pelan percutian dengan itinerari lengkap dan mempromosi barang sehebat jurujual di kedai.

Di UK, universiti sudah mula khuatir dengan gelombang ChatGPT. Apatah lagi, mereka sememangnya sangat komited memelihara integriti keilmuan dan kesarjanaan.

Bukan sekadar menjadi gedung ilmu dan pusat melahirkan ilmuwan, malah mereka inilah sumber rujukan dan bagai ‘otak’ masyarakat di UK. Tetapi kalau ChatGPT telah mengambil alih tugas manusia untuk berfikir, orang yang tak ada asas ilmu pun boleh kelihatan seperti ilmuwan.

Tekanan juga datang daripada pihak luar. Universiti digesa menyemak semula sistem peperiksaan dan penilaian penuntut. Malah, Dr Thomas Lancaster, pakar integriti akademik dari Imperial College London berkata, dengan keupayaan luar jangka ChatGPT, agak mustahil untuk kita menjumpai penuntut yang melaksanakan tugasan dan menjawab soalan peperiksaan tanpa menggunakannya.

Beliau turut memberi amaran tentang kemungkinan bukan setakat sistem penilaian, malah universiti di UK juga harus bersedia merombak keseluruhan sistemnya. Selain isu integriti dalam kesarjanaan, yang turut dibimbangkan adalah penyebaran maklumat tidak tepat secara berleluasa melalui penggunaan ChatGPT.

Profesor Ed Wesserman dari University of Iowa dalam kajiannya mendapati cara artificial-intelligence (AI) ‘berfikir’ sama sahaja seperti burung merpati ‘berfikir’ iaitu berasaskan pemprosesan maklumat berulang secara berterusan.

Maka, jika AI memproses maklumat tidak tepat, terdapat kemungkinan output dikeluarkan juga salah dan kesalahan itu akan berterusan serta semakin sukar untuk diperbetulkan.

Namun, untuk mereka yang sudah terbiasa malas berfikir, apa sahaja maklumat diberikan ChatGPT pasti dipercayai bulat-bulat.

Khuatir musibah yang datang bersama ChatGPT, semua universiti di sini sudah mula sibuk merancang perubahan dan rombakan kepada sistem sedia ada.

Pelbagai jawatankuasa juga ditubuhkan untuk mengkaji implikasi ChatGPT secara keseluruhan dan menyemak dasar untuk meminimumkan impak buruk aplikasi tersebut. Meskipun ia akan ambil masa lama tetapi mereka memilih bermula dari sekarang.

Tetapi sepantas apa pun mereka mula bertindak, masih belum dapat mengatasi kepantasan evolusi chatbot AI. Siapa sangka dalam masa kurang tiga bulan, sudah ada tiga chatbot yang cuba menggantikan otak manusia untuk berfikir- ChatGPT, Bard dan Bing.

Sebenarnya kita juga tak tahu apa lagi yang bakal muncul selepas ini. Yang pasti dunia akan terus bertarung dengan begitu banyak otak buatan.

Tatkala aplikasi-aplikasi chatbot seolah-olah tidak begitu diraikan kehadirannya oleh kebanyakan universiti di UK, tidaklah dapat dipastikan bagaimana reaksi pentadbir akademik di Malaysia.

Adakah kita seperti selalu, gembira menyambut kehadiran apa sahaja aplikasi baharu dengan tangan terbuka? Mungkin kita sudah boleh bertanya pada ChatGPT, Bard mahupun Bing, apa yang patut kita buat tentangnya?

* Wan Izar Haizan ialah penuntut PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau juga merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca