MENJELANG tiga bulan genap Pilihan Raya Umum ke-15, mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-15, bermula hari ini dengan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia juga terakhir yang dirasmikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG tiga bulan genap Pilihan Raya Umum ke-15, mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-15, bermula hari ini dengan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia juga terakhir yang dirasmikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pembukaan hari ini mirip detik disaksikan 24 tahun lalu. Situasi sama berulang. Pada Februari 2000, majlis perasmian diadakan susulan PRU, bulan November 1999.

Meskipun ahli-ahli Parlimen telah mengangkat sumpah dan Dewan Rakyat pula telah mengadakan sidang khas bagi meluluskan bajet mini Disember lalu, persidangan pertama secara formal dengan majlis perasmian sememangnya dinanti-nantikan sejak dua bulan lalu. Sidang pertama bermula hari ini akan memperlihatkan kelainan sebagaimana beza dan uniknya PRU15, 19 November lalu.

Dua dekad lalu, apabila Parlimen bersidang kali pertama, Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan Pusat dengan masih menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Meskipun berhadapan dengan krisis politik ketiga dalam sejarahnya, BN, yang sebelum tahun 1973 dikenali sebagai Parti Perikatan, gabungan 14 parti komponen, mengekalkan kelebihan selesa di Parlimen untuk satu tempoh yang lama.

BN terutamanya UMNO berhadapan dengan ujian populariti susulan gerakan reformasi akibat penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada September 1998. Dalam erti kata lain, Anwar berhadapan dengan survival politik apabila menghadapi sabitan kesalahan di mahkamah.

Hari ini ketika Parlimen bersidang, Anwar pula kembali sebagai Perdana Menteri, yang ke-10. Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu duduk di kerusi pertama dalam susunan kedudukan sebagai ketua kerajaan – Kerajaan Perpaduan, hasil gandingan pelbagai gabungan dan parti individu susulan PRU15 yang menyaksikan tiada parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah 112 kerusi. Ia juga satu kelainan kerana julung kali kerajaan pelbagai gabungan dan parti dibentuk.

Landskap politik berubah. Begitu juga kedudukan di Parlimen. Daripada sebuah gabungan yang menikmati kelebihan daripada segi majoriti dua pertiga yang selesa, BN hari ini hanya mempunyai 30 kerusi. BN kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, dan pemimpinnya telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan timbalan perdana menteri.

Satu lagi kelainan Parlimen. Kita mempunyai dua timbalan perdana menteri. Satu lagi disandang parti dari Gabungan Parti Sarawak, yang terbentuk selepas empat parti keluar BN susulan PRU14.

Dengan persekitaran yang berbeza berbanding lebih dua dekad lalu, Parlimen kembali bersidang bagi melengkapkan keperluan mandatori Perlembagaan Persekutuan. Para pemerhati dan pemegang taruh sedang meletakkan harapan yang tinggi ke atas dewan perundangan yang dipandang mulia. Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan pusat yang melulus dan meminda undang-undang persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan cukai baharu.

Mengikut Artikel 55(1) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. Secara umumnya, "penggal” adalah tempoh permulaan sidang Parlimen hingga penghujung persidangan pada setiap tahun.

Parlimen kembali di bawah radar rakyat. Rakyat mahukan persidangan Parlimen berlangsung dengan bebas, profesional, adil dan penuh tertib manakala 222 wakil rakyat yang dipilih pada 19 November lalu perlu meletakkan nilai tatasusila yang amat tinggi agar ia menggambarkan kedudukan Parlimen itu sendiri dari kata mata setiap anggota masyarakat. Parlimen harus menjalankan tugasnya dengan penuh tertib bagi memenuhi keperluan rakyat.

Sidang Parlimen kali ini akan menjadi ujian dan dugaan kepada semua gabungan dan parti. Begitu juga bagi Anwar yang akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri. Baki 221 anggota dewan juga perlu memainkan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tersohor. Jangan kecewakan rakyat dan pengundi masing-masing.

Hasil akhir Parlimen perlu berwajah baharu lagi efektif serta berintegriti. Sekarang adalah masanya! * Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca