SEBAGAIMANA yang kita jangkakan, baru-baru ini Bank Negara telah mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada 2022 berkembang 8.7 peratus, jika dibandingkan prestasi ekonomi negara pada 2021 iaitu 3.1 peratus. Ia juga mengatasi unjuran awal... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAIMANA yang kita jangkakan, baru-baru ini Bank Negara telah mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada 2022 berkembang 8.7 peratus, jika dibandingkan prestasi ekonomi negara pada 2021 iaitu 3.1 peratus. Ia juga mengatasi unjuran awal disasarkan negara iaitu antara 6.5 hingga 7 peratus.

Ia adalah peningkatan yang amat memberangsangkan iaitu peningkatan 5.6 peratus dari 2021, menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia 2022 paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000 dan pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Secara umumnya, prestasi ekonomi Malaysia tahun lalu mengatasi Vietnam yang mencatat pertumbuhan 8.02 peratus, Indonesia (5.01 peratus), Singapura (3.8 peratus), Filipina (7.6 peratus), sementara Thailand diunjurkan berkembang 3.4 peratus.

Secara khususnya, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada suku pertama 2022, 8.9 peratus pada suku kedua 2022, 14.2 peratus (suku ketiga 2022) dan 7.0 peratus (suku keempat 2022).

Peningkatan data itu disebabkan impak positif terhadap pembukaan semula ekonomi selaras dengan fasa peralihan ke endemik Covid-19 termasuk peningkatan permintaan domestik, pemulihan utuh pasaran kerja dan permintaan kukuh bagi elektrik dan elektronik serta pemulihan aktiviti pelancongan selepas terjejas teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bank Negara juga mengunjurkan pertumbuhan suku pertama 2023 berkemungkinan akan lebih baik dari suku keempat 2022. Namun, angka itu tidak semestinya diterjemahkan dalam konteks kesan positif kepada rakyat dan perniagaan secara menyeluruh disebabkan kesan signifikan inflasi serta harga barangan naik secara mendadak pada 2022 dan berterusan ketika ini yang membebankan rakyat walaupun ekonomi negara berkembang 8.7 peratus tahun lalu.

Kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga telah menambah kesan serta bebanan kepada pelbagai pihak.

Pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) dikenakan surcaj 20 sen/kWj.

Antara amat terkesan ialah sektor perhotelan dan peruncitan. Tujuh persatuan – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) serta Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) amat terkesan dengan kenaikan tarif elektrik itu.

Secara purata mereka menghadapi peningkatan minimum antara 20 hingga 30 peratus bil elektrik bulanan berbanding tahun sebelumnya dengan kadar penggunaan sama.

Tatkala perkara itu terjadi, maka persoalan yang timbul, adakah industri akan menyerap tambahan surcaj tarif elektrik atau industri berkongsi kos itu dengan pengguna atau industri mengalihkan 100 peratus kos surcaj tarif elektrik kepada pengguna yang berkemungkinan mengakibatkan harga barangan melambung lebih tinggi?

Walaupun kerajaan masih menampung subsidi RM1.93 bilion, namun harga barangan berpotensi melambung lebih tinggi. Terbaharu berdasarkan data terkini daripada peniaga pasar basah Kuala Lumpur yang disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini - pelbagai jenis sayur naik harga secara mendadak.

Contoh, harga timun pada 1 Februari naik RM6.50 sekilogram berbanding RM1.80 sekilogram pada 13 Januari lalu. Begitu juga tomato saiz kecil daripada RM7 sekilogram naik RM10 sekilogram.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Menu Rahmah RM5, namun pada masa sama kerajaan perlu mengenal pasti penyelesaian dalam mengawal harga barang mentah agar Menu Rahmah dapat bertahan.

Antara cadangan boleh dipertimbangkan adalah memperkenalkan semula konsep kedai runcit setempat melalui kerjasama kerajaan bersama koperasi. Melalui kerjasama itu, maka kedai runcit setempat mampu menawarkan lebih banyak barang mentah dan barangan keperluan harian di pelbagai lokaliti dengan harga mampu milik.

Jika kedai runcit Aceh boleh berkembang luas, mengapa tidak koperasi juga turut melaksanakan inisiatif kedai runcit setempat itu secara meluas di pelbagai lokaliti dengan harga mampu milik, yang akhirnya dapat mengawal kenaikan harga barang.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca