SHAH ALAM - Amalan rasuah di setiap peringkat termasuk dalam sektor perniagaan dilihat sebagai punca utama kepada peningkatan kos sara hidup, sekali gus menekan golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel berkata, kenyataan perbuatan rasuah sememangnya menjadi antara punca kos sara hidup meningkat sememangnya perkara benar yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
Katanya, peningkatan kos sara hidup itu mungkin tidak berlaku secara total tetapi ia antara penyumbang kepada kewujudan kos tertentu terhadap perkhidmatan, seterusnya menyebabkan harga barangan menjadi tidak stabil.
Malah Hamdan menegaskan amalan rasuah yang meluas dan berlaku di setiap lapisan masyarakat menjadi penyumbang besar kepada kos terselindung pengurusan perniagaan.
Lebih menyedihkan katanya, kesan daripada semua kegiatan tidak bermaruah itu pada akhirnya terpaksa dibayar oleh pihak memerlukan iaitu orang ramai.
"Bayangkan jika berlaku salah laku seperti amalan rasuah di peringkat pihak yang meluluskan dasar sesuatu projek pembangunan.
"Perbuatan tidak berintegriti daripada pihak bawah sehingga kepada pihak pengurusan, maka tentunya harga barangan atau perkhidmatan yang perlu dibayar oleh pengguna akan menjadi lebih tinggi.
"Tidak mustahil daripada salah laku dan amalan rasuah yang berlaku di sektor pembangunan hartanah menyebabkan harga rumah melambung tinggi dan menyukarkan rakyat berpendapatan rendah untuk memilikinya," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Sehubungan itu, Hamdan berpandangan budaya rasuah yang sekian lama berakar umbi di negara ini perlu ditamatkan dengan segera supaya kos sara hidup dapat dikurangkan dan tidak membebankan rakyat.
Jelasnya, rakyat pada masa ini sangat menderita dengan kadar kos sara hidup yang semakin meningkat, sedangkan kadar pendapatan bulanan masih berada pada tahap statik.
"Hentikan amalan rasuah daripada segenap rantaian ekonomi. Rakyat berhak mendapat yang terbaik daripada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
"Malah dengan penolakan terhadap amalan rasuah dan tidak berlakunya ketirisan, hasil pembangunan negara dapat disampaikan kepada segenap lapisan rakyat untuk hidup lebih selesa," katanya.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (Pusat C4), Pushpan Murugiah berkata, masalah kenaikan kos sara hidup sangat berkait rapat dengan perbuatan pengusaha apabila bertindak menyerap tanggungan perbelanjaan daripada perbuatan rasuah ke dalam kos perniagaan.
"Apabila urusan perniagan terpaksa diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, rasuah ini dikira sebagai kos perjalanan perniagaan.
"Pengusaha perniagaan akan bertindak menyalurkan beban pemberian rasuah kepada kepada masyarakat atau pengguna akhir.
"Lingkaran proses tidak sihat yang diamalkan ini dikenali sebagai 'trickle-down effect' dan ia memberi kesan kepada masyarakat apabila kos sara hidup semakin meningkat," katanya.
Tambah Pushpan lagi, antara contoh kes rasuah yang menyebabkan rakyat menanggung kesannya adalah skandal agihan jumlah kuota umrah melibatkan agensi perkhidmatan pelancongan yang terbongkar baru-baru ini.
Katanya, setiap syarikat yang ingin mendapatkan tempat untuk menunaikan ibadah itu harus membayar rasuah atau 'wang pelincir' sehingga RM250 bagi setiap seorang jemaah umrah.
"Maka perbuatan rasuah dalam bentuk ini akan diselitkan sebagai kos pakej dan ia akan ditanggung oleh mereka yang membeli pakej umrah berkenaan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca